Showing posts with label bida'ah. Show all posts
Showing posts with label bida'ah. Show all posts

Saturday, March 14, 2009


Merancang kehidupan bukanlah semudah membilang 1,2 atau 3. Bukan juga semudah mengungkapkan abjad-abjad A, B, C dan D. Tetapi memerlukan sesuatu yang lebih dari itu. Perancangan masa depan adalah sesuatu yang amat-amat penting dan menentukan halatuju samada mampu sampai ke tempat tujuan atau tidak.

Perancangan kehidupan, boleh sahaja diibaratkan sebagai mencorak perjalanan. Kehidupan serta agama itu sendiri adalah hayunan langkah dan denai-denai jalan, dan tujuan itulah destinasi.

Maka, dalam anggapan sedemikian, bagi seorang Muslim yang beriman kepada Allah, Rasul-Nya serta hari akhirat, maka dia akan tahu bahawa tujuannya adalah syurga. Mana mungkin orang yang beriman mahu pilih kiat-kiat ke jahanam?

Dalam memilih syurga, kita mengatur corak perjalanan kehidupan. Kita menyusun segala yang termampu untuk ke sana. Namun, dalam mencorak perjalanan mencari syurga, ramai pula tercampak dalam lembah kesesatan yang hina lagi menyesatkan.

Tersilap langkah kerana tidak mahu mengikut jejak-jejak yang ditinggalkan oleh Nabi serta Salaf al-Ummah. Sebaliknya mengekori jejak-jejak yang entah milik siapa, ada yang lebih teruk membuat sendiri denai-denai yang akhirnya menuju ke arah kesesatan. Inilah perumpamaan sesatnya perbuatan bida’ah. Analogi yang mudah untuk menggambarkan sesuatu.

Agama itu sebagai denai jalan. Makanya, jika digambarkan bagi seorang pelawat hutan belantara buat pertama kali, tentu sekali dia akan melalui jalan yang sudahpun pernah diteroka oleh orang sebelumnya, dan jalan itu benar-benar akan membawanya ke destinasi. Itu sudah memadai baginya. Namun jika dia pandai-pandai membuat akal sendiri, membuat jalannya sendiri, maka mungkin sahaja dia tersesat.

Bida’ah di dalam agama juga begitu. Pertama kali ia berlaku akibat wujudnya keadaan manusia yang cuba-cuba untuk tunjuk pandai lebih dari Nabi dan Salaf al-Ummah. Malang lagi mereka mencari-cari dan mereka buat sesuatu yang baru di dalam agama. Tidak seperti yang sudah tersedia contohnya. Maka apa tidak mungkin untuk mereka menjadi sesat?

Walhal, terang-terang wujud peringatan dari Nabi SAW bahawa buruk sekali bida’ah itu. Apa mereka juga mahu tunjuk pandai kata bahawa Nabi itu katanya salah? Atau perbuatan serta perkataannya itu boleh dilawan-lawan? Apa bezanya orang yang mengaku sunni, tetapi berkasutkan bida’ah dengan mereka dari golongan syi’ah? Jika si syi’ah gah membidas bahawa Nabi SAW itu bobrok ajarannya kerana sekalian sahabat sudahnya sesat. Apa pembeza dengan pelaku bida’ah? Mereka juga kata ajaran Nabi itu ada cela. Akibat menambah-nambah perkara baru di dalam agama, seolah bahawa risalah itu tidak sempurna!

Mahu jadi apa kah kita ini? Sudah berani menebuk-nebuk risalah dari langit dengan api-api bida’ah? Mencalitkan kekotoran yang bernanah. Apa Islam ini tempatnya di tong sampah sekadarnya? Agama ini lebih mulia dari itu! Untuk menambah-nambah sesuatu yang baru, apa layaknya untuk kita berbuat begitu? Banyakkan istighfar wahai orang yang mengambil mudah perkara ini. akibatnya sudah kita pastikan sebagaimana yang dikhabarkan oleh Rasul kita!

Posted by Posted by Ariff Arifin at 8:30 AM
Categories: Labels: ,

0 comments  

Tuesday, March 10, 2009


قال ابن الماجشون: سمعت مالكاً يقول: من ابتدع في الإسلام بدعة يراها حسنة فقد زعم أن محمداً - صلى الله عليه وسلم – خان الرسالة، لآن اللّه يقول: {اليوم أكملتُ لكم دينكم} فما لم يكن يومئذٍ ديناً، فلا يكون اليوم ديناً

Telah berkata Ibn al-Maajisyun, bahawa dia mendengar Imam Malik berkata; “Sesiapa yang memulakan perkara bida’ah dalam Islam dan melihatnya sebagai baik, maka dia telah mengatakan bahawa Muhammad SAW khianat dalam menyampaikan risalah sedangkan Allah telah berfirman; [Hari ini telah Aku sempurnakan agama kamu]. Maka apa yang tidak menjadi bahagian agama pada waktu itu, tidak pula menjadi bahagian agama pada hari ini.”

Kata-kata al-Imam Daar al-Hijrah, Abu Abdillah Malik bin Anas RH itu adalah sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Syaatibi dalam kitabnya al-I’tisom.

Kata-kata Imam Malik itu merupakan satu penafian yang keras terhadap pelaku-pelaku bida’ah yang mana cuba-cuba untuk melakukan sesuatu perkara yang baru di dalam agama. Imam Malik menyifatkan pelaku bida’ah telah menuduh bahawa Nabi Kita, Muhammad SAW sebagai khianat dalam menyampaikan agama dari Allah dengan cuba menokok tambah perkara baru dalam Islam, sedang telah datang daripada wahyu, perakuan Allah Azza wa Jalla sendiri bahawa agama ini telahpun disempurnakan oleh-Nya.

Apakah mereka menganggap bahawa agama mereka lebih baik daripada agama Muhammad? Azab Allah ke atas mereka!

Dan sebagaimana yang dikatakan oleh Imam Malik, dengan turunnya ayat daripada surah al-Maa’idah itu, maka apa-apa sahaja perlakuan, yang melebihi daripada batas syariat Islam adalah tertolak. Apa-apa sahaja, yang diada-adakan, bermula pada hari turunnya wahyu tersebut, sehinggalah hari di mana bumi ini binasa, maka ia tidak akan jadi sebahagian daripada agama. Maka takutlah kita kepada azab Allah Azza wa Jalla.

Wallahua’lam.

Posted by Posted by Ariff Arifin at 7:34 PM
Categories: Labels: ,

0 comments  

كل بدعة ضلالة وإن رآها الناس حسنة

Setiap bida’ah (atau perkara baru dalam agama) adalah sesat, akan tetapi manusia melihatnya sebagai suatu perkara yang baik.

Atsar di atas adalah daripada sahabat, Ibnu Umar R.Anhuma, sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Imam Ibnu Battah dalam kitab al-Ibanah ‘an Syari’ati al-Firqati al-Naajiyah wa Mujanibati al-Firqati al-Mazmumah serta al-Imam Muhammad bin Nasr al-Marwazi dalam kitabnya al-Sunnah.

Maklum bagi kita di kalangan Ahlu al-Sunnah Wa al-Jamaah bahawa perkara bida’ah di dalam agama adalah buruk dan sesat. Tidak dapat dinafikan lagi mengenai hakikat bida’ah apabila datang beberapa banyak perkara yang berkaitan dengan perkara ini. Antaranya adalah ancaman kepada pelaku bida’ah bahawa mereka tidak akan diterima taubatnya.

Lafaz كل atau semua pada perkataan tersebut tidak membeza-bezakan hakikat bida’ah. Ada sesetengah orang menakwilkan bahawa كل بدعة itu dimaksudkan dengan بدعة ضلالة atau bida’ah yang sesat sahaja, manakala terdapat pula بدعة حسنة yang dibenarkan dalam Islam.

Ini adalah suatu kenyataan yang silap dan didasarkan di atas jalan kejahilan. Apakah lafaz كل di atas belum cukup terang dalam menyatakan bahawa bida’ah itu tidak dijuzuk-juzukkan? Dalam menyatakan kefahaman, maka kita ketahui bahawa lafaz semua di situ secara sendirinya telah menolaj wujudnya bida’ah hasanah.

Wallahua’lam.

Posted by Posted by Ariff Arifin at 4:02 PM
Categories: Labels: ,

0 comments  

 
>