Tuesday, November 25, 2008


Terima kasih buat Abu Hasif kerana sudi memaparkan artikel ini.

Apabila menelusuri perjuangan dakwah. Maka kita akan ketahui bahawa ia bukanlah satu perkara baru. Tidak salah jika dikatakan bahawa perjuangan dakwah adalah sunnah. Sunnah yang abadi. Lebih 1400 tahun dahulu, dimulakan oleh seorang lelaki. Yang mana umat Islam hari ini mewarisi liku-liku perjalanannya. Pahit getir dan kesabarannya.

Perjuangan suci diterapkan dalam kehidupan. Bukan untuk kepentingan diri. Bukan juga untuk kepentingan manusia yang lain. Perjuangan yang tulus serta ikhlas dan datang dari hati yang luhur dan murni demi melihat agama Allah berdiri dengan tegak di atas muka bumi. Abu Bakar as-Siddiq R.A pernah berkata, “Apakah agama Allah ini akan jadi rendah, sedangkan aku masih hidup?” Kata-kata yang sewajarnya memberikan kesan kepada seluruh ummat manusia khususnya, agar tidak meletakkan agama di kedudukan yang rendah, mahupun membiarkan ia di suatu tahap yang menghinakan.

Amat menghairankan apabila agama mula ‘dibunuh’ oleh orang-orang agama sendiri. Meletakkan Islam dalam keadaan yang memalukan. Menggambarkan Islam itu sebagai suatu yang sempit, serta kolot. Dan mencerminkan bahawa Islam itu adalah suatu yang sangat sukar. Walhal ianya tidak begitu. Mereka inilah yang membunuh usaha dakwah tanpa disedari. Yang mana akhirnya, Islam itu terus-terusan ditolak dari minda, samada dari bukan Islam, mahupun orang Islam sendiri.

Orang Islam sewajarnya merangka strategi dakwah untuk menyampaikan Islam yang asal. Islam yang segar dan Islam sebenar. Merangka bagaimana Islam perlu dilontarkan ke dalam hati masyarakat agar ianya diterima. Dan yang paling utama, adalah kesediaan untuk melakukan pengorbanan demi melihat agama Allah ini tegak. Allah berfirman di dalam surah as-Saff, “Wahai orang-orang Yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang pedih? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).”

Dalam menyampaikan Islam, kita cuba berusaha membuka kiat-kiat dakwah agar ia dapat diterima secara menyeluruh dan tepat. Berusaha untuk mencari dan mengorbankan sedikit sebanyak yang kita ada. Ganjaran yang besar menanti. Cuma tinggal kesanggupan kita. Samada kita mahu ataupun tidak.

Islam yang segar dan benar tidak lain melainkan apa yang diwarisi oleh Rasulullah SAW. Agama yang lengkap dan tidak memerlukan apa-apa penambahan, dan tidak juga perlu untuk dikurangkan. Dinyatakan di dalam surah al-Maa’idah, “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama bagimu.” Jelas bahawa Islam adalah syumul. Dan melalui kesempurnaan Islam, kita menyakinkan subjek-subjek dakwah. Jauh sekali kita cuba memaparkan apa yang mungkin menyebabkan Islam itu dianggap lemah dan bobrok. Nyata sekali kerana Islam itu bukan begitu. Dan nyata sekali yang berbuat demikian adalah mereka yang khianat terhadap Islam. Rasulullah SAW bersabda bahawa, “Permudahkan usah menyusahkan.” Suatu kata-kata yang menunjukkan bahawa berat sekali untuk memaparkan bahawa Islam itu adalah suatu yang mudah dan bukan suatu yang berat.

Gerakan melakukan dakwah adalah usaha yang perlu dilakukan oleh keseluruhan umat. Gerakan dakwah bukanlah jalan perseorangan. Meletakkan tanggungjawab kepada kelompok tertentu adalah kesilapan yang total. Mana mungkin agama ini mengkhususkan perbuatan dakwah hanya kepada kumpulan-kumpulan atau orang perseorangan. Sedangkan Rasulullah mengatakan, “Sampaikan dariku walaupun satu ayat.” Suatu perkataan yang tiada menunjukkan pengkhususan kepada siapa-siapa. Suatu suruhan yang jelas kepada umat Baginda tanpa ada diskriminasi.

Takaran usaha dakwah bukan hanya pada satu sisi. Apabila disebutkan bahawa Islam itu sempurna. Maka jelas sekali bahawa usaha dakwah itu berlegar dari setiap sudut. Tidak kira samada tauhid, ekonomi, politik atau sebagainya selagimana materi tersebut berkaitan dengan agama Allah sebagaimana dipaparkan oleh Baginda Rasulullah SAW. Tegaknya agama Allah bukan pada satu dasar sahaja. Bahkan bergelumang dari pelbagai posisi. Bahkan prinsip tarbiyah dan tasfiyah itu berjalan seiring bagi memantapkan penerimaan pada hati subjek-subjek dakwah.

Dan dalam berdakwah juga kita berukhwah. Bukan untuk berpuak-puak, dan bukan juga untuk berpecah-pecah. Berukhwah untuk menunjukkan bahawa umat Islam itu berkongsi ideologi dan fikrah yang sama serta seimbang. Tidak lain untuk menunjukkan kekuatan agama itu sendiri. Bukanlah bersatu disebalik perbuatan-perbuatan bida’ah terkutuk yang berlatarkan Islam untuk mengabui mata masyarakat. Islam tidak memerlukan perkara-perkara itu, cukuplah agama Allah menjadi sebab penyatuan. “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (yakni agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan ingatlah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu Dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam Yang bersaudara. dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.”

Jelas. Besar sekali nikmat Islam. Dan hanya melalui Islam yang segar dan sebenar, kita dapat mencapai maksud dakwah yang sebenar. Dan bukan menjadi pandir agama. Bercakap dan menyampaikan apa yang ‘kononnya’ adalah agama. Menyampaikan agama dengan ilmu, kerana ilmu merupakan kunci dakwah. Selain perlu dilengkapi dengan keikhlasan. Sekarang tin ggal kemahuan. Samada mahu atau tidak. Tinggal kita untuk berbuat pilihan. Bukan sekadar kata-kata yang tersekat di rengkung.

Posted by Posted by Ariff Arifin at 3:22 PM
Categories: Labels:

 

0 comments:

 
>