Tuesday, November 10, 2009


Wahai jiwa-jiwa yang menyembah Yang Maha Kuasa, sudah berapa banyakkah kau meminta kepadaNya, kemudian dikabulkan?

Dan berapa banyak pula kau bersyukur atas kurniaan itu?

Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya dan dia dimuliakan oleh-Nya dan diberikan-Nya kesenangan, maka dia akan berkata: "Tuhanku telah memuliakan daku". Adapun apabila Tuhan mengujinya lalu membataskan rezekinya, maka dia akan berkata: "Tuhanku telah menghinakanku" [al-Fajr: 15-16]

Tanpa rahmat dan kasih tuhan, siapalah kita ini?

Barangkali jadi sampan yang hanyut di kali.

Atau mungkin najis yang lekat di kaki.

Tapi Dia dengan sifat-Nya yang Maha Adil memberikan kita kemuliaan denga memberikan kita akal. Namun sedikit sungguh kita cuba berfikir dengannya.

Amat sikit sekali kita menggunakannya.

Maka, akhirnya jadilah kita satu bangsa yang hina lagi dihinakan.

*****

Usah jadikan sifat taksub kita menjadi hijab daripada menjadi adil.

Adil dan insaf dalam menilai akan membuahkan satu paradigma baru. Maka usah terburu-buru untuk membela si polan dan si polan. Walhal mungkin sahaja dia itu berada dalam arus yang berlawanan.

Bukan mahu berbalah berdebat. Tapi jadilah adil.

*****

Penilaian yang kita buat kepada seseorang, adakalanya wajar didasarkan kepada siapa dia bersahabat. Kerana sahabat membawa impak besar dalam kehidupan.

Orang bersahabat dengan pencacai najis, mana mungkin akan bawa haruman kasturi di badannya.

Dari Abu Musa RA: dia berkata: Dari Nabi SAW, baginda bersabda: Sesungguhnya perumpamaan berkawan dengan orang soleh dan berkawan dengan orang yang jahat adalah seperti seorang penjual minyak wangi dan seorang peniup dapur tukang besi. Penjual minyak wangi, dia mungkin akan memberi kamu atau kamu akan membeli daripadanya, atau kamu akan mendapatkan aroma harum daripadanya. Akan tetapi peniup dapur tukang besi, mungkin dia akan membakar pakaianmu atau kamu akan mencium bau yang tidak harum. (Muslim)

Jadinya, kalau seseorang itu kita ketahui bahawa duduk dalam satu majlis, membuat aktiviti yang sama dengan orang-orang yang jahat-jahat belaka, suka membuat fitnah di sana sini. Maka, apa penilaian kita? Kita memberi nilai awal daripada apa yang tampak.

"Dia belum mengkritik kita syeikh!"

Jadi mahu tunggu dia kritik baru kita sibuk hendak menangkis?

*****

Bunga bukan sekuntum, kumbang bukan seekor.

Jadi apakah wajar untuk duduk tergila benda yang sama untuk jangka masa yang lama?

Posted by Posted by Ariff Arifin at 10:01 AM
Categories: Labels:

 

0 comments:

 
>