Kadang kala, kita perlu membuat sedikit pengorbanan kecil, untuk mendapatkan sesuatu yang lebih besar. Ini mungkin kelihatan seperti kata-kata ahli politik, atau kata-kata orang yang mencari alasan. Secara dasar, ya, ia mungkin kelihatan seperti kata-kata seorang ahli politik. Dan, ya, ia memang alasan. Akan tetapi, dalam dakwah, lebih baik bersikap oportunis dari kehilangan ruang secara total.
Apabila menyebut mengenai peluang. Yang timbul adalah perebutan. Untuk merebut. Maka, jika dinilai melalui logik akal, kita tidak akan membiarkan apa yang dinamakan peluang terlepas begitu sahaja. Ruang dakwah itu besar, akan tetapi mungkin jadi sia-sia jika membiarkannya. Ruang dakwah itu luas, akan tetapi akan dipenuhi habuk-habuk kotor jika tidak digunakan. Tidak ada alasan untuk membiarkan ruang dakwah melainkan jika digunakan, ia hanya akan membawa kesan buruk ke atas umat Islam.
Bercakap akan menggunakan ruang dakwah, membuat sedikit pengorbanan, bukan bermakna menggadaikan prinsip. Bergadai prinsip adalah tajuk yang lain, pada muka surat yang lain. Kerana, mana mungkin, kita menggadaikan prinsip. Prinsip itu suatu yang amat mahal untuk digadaikan. Akan tetapi yang tidak kurang penting juga, adalah untuk seratus peratus menggunakan peluang untuk membawa manfaat yang lebih besar.
Sebagai contoh, bayangkan bahawa seorang kenalan – yang manhajnya kosong, dan tidak tahu – meminta kita menjadi membaca doa sebaik sahaja selesai sembahyang. Apa yang akan kita lakukan?
Ada yang mengatakan, mengalah untuk satu benda, hanya akan mencampakkan diri menjadi seorang mubtadi’. Wallahua’lam. Fiqh dakwah tidaklah seburuk itu. Tidaklah seorang menjadi seorang pelaku bida’ah hanya dengan berkorban untuk melakukan sesuatu yang tidak selari dengan manhaj. Melaksanakannya. tidak bermakna kita berlembut dengan perkara-perkara bida’ah. Cuma, minta difikirkan ruang yang lebih besar yang mampu hadir selepas ini. Apabila kita memahami keperluan dakwah, maka tidaklah sewajarnya kita melepaskan apa yang dianggap sebagai ‘terhidang’ di depan mata.
Kita bercakap mengenai survival dakwah. Dan bukan semua orang mendapat peluang yang baik untuk berdakwah, dan bukan semua melalui jalan-jalan mudah untuk berdakwah. Mungkin kita mengorbankan beberapa perkara. Akan tetapi, secara tidak langsung, ia akan membuka peluang kepada kita untuk berdakwah dan mendedahkan pengertian manhaj yang sebenarnya. Selagimana, manhaj tidak dirosakkan, atau tidak membawa implikasi buruk, maka kita wajar merebut peluang.
As-Syaikh Dr Muhammad Musa Alu Nasr pernah menerangkan bahawa, usul pertama kepada dakwah Salafiyah adalah untuk mendakwahkan kepada tauhid dan menghapuskan kesyirikan, sebelum diikuti dengan ittiba’. Dan kemudian barulah disusuli dengan tashfiyah daripada perkara bida’ah.
Sungguh, perpecahan itu hanya akan membawa kesusahan. Dan menjauhkan hati-hati manusia daripada kebenaran, hanya akan membawa kepada kebobrokan dalam usaha dakwah. Mana tinggal dakwah jika hati-hati manusia semuanya berpaling ke belakang? Dakwah bukan untuk menyebabkan mereka merasa jauh dari kita, bukan juga mahu mereka jadi renggang!
Antara manhaj Rasulullah SAW dalam melakukan dakwah adalah meletakkan skala tertentu dalam berdakwah. Meletakkan mana satu yang lebih utama. Apa yang paling penting, dan diikuti dengan yang penting. Dakwah dimulakan dengan perkara-perkara yang mendasar kemudia disusuli dengan materi-materi selepasnya.Daripada Mu’az, dia berkata:Rasulullah SAW mengutusku, baginda bersabda: Engkau akan mendatangi suatu kaum dari Ahli Kitab. Kerana itu, ajaklah mereka kepada persaksian bahwa tiada Tuhan selain Allah dan sesungguhnya aku adalah utusan Allah. Jika mereka taat, maka beritahulah kepada mereka bahawa Allah mewajibkan mereka bersolat lima waktu sehari semalam. Kalau mereka taat, maka beritahulah kepada mereka bahawa Allah mewajibkan mereka membayar zakat, yang diambil dari orang kaya di antara mereka dan diberikan kepada orang miskin di antara mereka. Jika mereka taat, maka waspadalah terhadap harta pilihan mereka. Dan takutlah engkau dari doa orang yang dizalimi, kerana doa itu tidak ada sekatan dengan Allah Ta'ala. (Riwayat Muslim)
Jelas dan nyata, bahawa Rasulullah punya takaran tertentu dalam berdakwah. Dakwah baginda bukan secara membabi-buta selain punya dasar-dasar tertentu untuk dipenuhi. Intipati dakwah perlu diasimilasikan dengan kehidupan. Ada keperluan untuk kita melihat siapa mad’u kita, bagaimana cara mereka menerima dakwah dan sebagainya. Tidak semua orang akan menerima bahawa perdebatan sebagai satu bentuk pembelajaran. Semua jadi berbeza, bergantung kepada mad’u.Serulah kepada jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) Dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang Engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik, sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk. (An-Nahl:125)
Dalam meleraikan isi-isi dakwah kepada orang-ramai, maka kita dapati bahawa perlunya ada kelembutan dalam dakwah. Alam dakwah bukanlah satu alam yang dihiasi dengan kekerasan, tanpa ada sikap tolak ansur.Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu Wahai Muhammad), kamu bersikap lemah-lembut kepada mereka, dan kalaulah Engkau bersikap kasar lagi berkeras hati, tentulah mereka lari dari sekelilingmu. (Ali ‘Imran:159)
Bahkan, itu jugalah yang diperintahkan oleh Allah kepada Musa dan Harun ketika menemui Fira’un.Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, mudah-mudahan dia beringat atau takut. (Thoha:44)
Kita bukan menggadaikan prinsip. Kita cuma mencari-cari ruang yang lebih besar. Dalam dakwah, tiada kompromi, tapi jika ada ruang, maka akan kita ambil kesempatan. Lebih baik bersikap oportunis daripada terusan ketinggalan. Jika ini dikatakan politik, maka kita cuma perlu jadi orang yang hebat dalamnya. Bukan terus menjadi orang yang ongok!
Friday, November 28, 2008
Posted by Posted by
Ariff Arifin
at
1:17 AM
Categories:
Labels:
islah kata
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment