Sekerat jalan bersama Syeikh Fauzy al-Audah di ADM LT2 malam semalam mengajar banyak benda. Memukul-mukul hati untuk berbicara. Betapa dakwah itu mekar dengan akhlak yang baik. Juga betapa penting dan hebatnya cengkaman akhlak dalam dakwah.
Tajuk yang berat disulami dengan gelak ketawa dan intonasi suara yang bersemangat dari Syeikh sedikit pun tidak menyebabkan mata jadi mengantuk. Bahkan jadi lebih bersemangat mendengar pengalaman first-hand dari pendakwah hebat ini dan terus melekat di tempat duduk walau perjalan pulang ke Terengganu pada jam 11. Semoga Allah memberkahi usaha dakwah Syeikh.
Bertemu mata dengan al-Fadhil Syeikh, begitu menggembirakan hati. Wajah tenang dan senyuman pendakwah hebat ini menyebabkan ketenangan. Budi pekertinya benar-benar mencerminkan usahanya yang berterusan. Semoga Allah memberkati dan menambahkan kebaikan dalam diri Syeikh.
Sesungguhnya termasuk dalam golongan orang-orang yang terpilih di antara engkau semua adalah orang yang terbaik budi pekertinya." [Muttafaqun ‘Alaihi]
Tersentuh pemikiran apabila al-Fadhil Syeikh menceritakan pengalamannya bermusafir dari Negara Jerman ke Michigan, Amerika Syarikat selepas peristiwa 9/11. Mengenai stigma masyarakat AS ketika itu melihat beliau sebagai Muslim. Bagaimana sepasang penumpang di sebelah beliau bercakap dengan nada menghina dan menganggap beliau sebagai pengganas. Syeikh berkata, “I just smile like an idiot and sit there pretending that I didn’t understand English. Until the flight attendant came asking if I need anything. I said; one American coffee no sugar please.” Beliau menceritakan bahawa penumpang tersebut meminta maaf atas kata-kata kasar mereka. Syeikh menyoal, apa yang menyebabkan mereka begitu fobia dengan Islam. Soalan mereka banyak berkaitan dengan keganasan. Namun siapa sangka di hujung perbualan, mereka jadi orang yang melindungi al-Fadhil Syeikh ketika solat di laluan kapal terbang. Dan siapa sangka juga, sebaik turun dari pesawat, mereka menjemput Syeikh untuk hadir ke rumah mereka. Siapa sangka?
Dalam kata-katanya, Syeikh menegaskan, pati yang paing utama dalam dakwah adalah senyuman. Bukan wang dan sebagainya. Jika duit menjadi asas utama melakukan dakwah, maka bila kehabisan duit maka terhentilah usaha dakwah. Senyuman bukanlah suatu yang memerlukan modal. Sewajarnya nasihat Syeikh dipandang berat, jika perkara material dijadikan lapik bagi dakwah. Maka tentu sekali dakwah tidak mampu berpanjangan.
Sebelum itu Syeikh memulakan kata-katanya dengan sepotong ayat dari al-Quran; “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik..” sambil tangan beliau menunjukkan kepada perkataan akhlak. Bahawa akhlak Rasululullah itu menjadi ikutan kita. Masih teringat-ingat beliau berkata, “Tomorrow, you are a da’ie. And I’m here sharing with you.” Membaca kata-kata Syeikh, tiba-tiba fikiran dipandu dengan satu semangat baru. Bahawa dakwah itu satu tugas dan tuntutan, bukan hiasan.
Bercerita mengenai pengalamannya bertemu dengan seorang Kristian dari Lubnan semasa beliau berada di Riyadh. Mereka berbual dan berdakwah. Sang Kristian punya masa 2 jam untuk mendakwahkan mengenai agamanya kepada al-Fadhil Syeikh, manakala beliau cuma 5 minit di hujung perbualan. Sang Kristian memanfaatkan masanya selama 2 jam dengan mempertikaikan mengenai ajaran Islam. Di waktu 5 minit yang terakhir, Syeikh bertanya kepada Sang Kristian. “Did you know where all the infants’ soul that died before they’ve been baptized go?” Sang Kristian menjawab tidak tahu. Seyikh menyambung, “I know. The Catholic Church in England issued that all of the soul will go to Limbo. A place that even God don’t know where it is. Are you saying that the Creator of all didn’t know about this place?” Sang Kristian terus membuka laman carian dan mencari mengenai Limbo. Siapa sangka selepas itu, Sang Kristian mengucapkan dua kalimah syahadah?
Syeikh berkata bahawa, usah hiraukan siapa mereka. Tapi cari satu titik dalam diri mereka.
Saya jadi tersentak seketika.
Sepanjang beberapa tahun duduk; samada di alam siber atau realiti. Sudah berapa kerat orang yang ditemui. Ada yang akhlaknya baik. Ada yang tidak.
Mengejar akhlak dalam berdakwah bukan suatu yang mudah. Ramai yang tewas apabila datang dalam hal berakhlak. Ramai yang mengakui beraqidahkan dengan aqidah Rasulullah dan para Sahabat. Tapi tiada berakhlak dengan akhlak yang mulia.
Kerancuan adakalanya kerana terlebih lajak dari laju. Ada yang cuma ada not seringgit tapi dianggap seolah ada seribu. Ilmu sekelumit tapi cakap bertalu-talu. Tapi tiada apa untuk melapik cakap. Akhirnya cuma melaungkan perkara retorik.
Adakala mungkin kerana terlajak dalam marah. Marah yang mana jadi api yang makan diri sendiri. Berapa ramai orang yang punya ilmu, tapi sebaik marah, ilmu seolah hilang, tiada nampak apa lagi. Akibatnya orang hilang rasa hormat dan kata dia tiada akhlak.
Bercakap bukan untuk mengata.
Saya juga begitu. Adakalanya tidak salah mencermin ke muka sendiri apabila berkata sesuatu. Jika dikata bercakap kearah cermin, maka itu adalah lebih baik daripada tersilap kata kepada orang lain. Kepada mad’u khususnya.
Ramai orang bertanya. Kenapa ramai orang yang hebat dalam aqidah tiada mencirikan akhlak yang baik? Mungkin kerana mereka terlalu fokus dalam berdakwah kepada aqidah yang benar, maka tentu sekali mereka tidak akan melakukan penyimpangan dalam aqidah. Tentu sekali juga mereka telah meneliti segala-gala berkenaan aqidah agar tidak tersilap.
Maka akhlak?
Jadi mungkin selepas ini, kita bukan sahaja perlu berdakwah kepada aqidah. Tapi juga dalam akhlak!
0 comments:
Post a Comment