Saturday, February 14, 2009


Tika membetulkan kepala yang masih senget-senget dinihari ini. Baru terperasan, sudah jam 5 sebenarnya. Proses pencernaan maklumat agak terganggu dengan kantuk yang dahsyat. Jari jemari menekan-nekan papan kekunci di bawah paras sedar. Kenapa? Tiada apa.

Awal pagi cuba menilai semula diri. Kata Dr Habeeb lebih kurang begini, “Bangun pagi perhatikan keadaan sekeliling. Perhatikan langit dan bintang-bintang. Ini kerja rumah buat kalian.” Oh ya. Dia juga bacakan sepotong ayat dari Ali Imran yang mengujakan.

“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal; (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha suci engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.” (3: 190-191)

Apa signifikannya? Kata Dr Habeeb, melihat kejadian di sekeliling bermakna melihat kebesaran Allah.

Soalan saya?

Berapa banyak kebesaran Allah yang telah kita abaikan?

Atau jika kita melihat, berapa banyak pula yang kita pura-pura tidak ternampak.

Jika kita ternampak, berapa banyak pula yang kita tidak faham.

Soalan ini berulang-ulang.

Namun ia bukan satu klise. Bukan juga satu retorik.

Kepala jika dihantuk ke dinding akan rasa sakit, walau perlahan. Benar.

Tidak percaya? Lakukan eksperimen sendiri.

Maklumat juga, jika disumbat-sumbat ke otak, walaupun sedikit demi sedikit. Orang akan mulai faham. Apa yang penting berterusan. Saya ulang, mungkin ada yang kurang jelas; B.E.R.T.E.R.U.S.A.N.

Kefahaman bukan dalam masa satu hari. Setiap orang, lain cara berjalan. Lain juga cara berpijak. Bayi, ada yang bertatih semalam, hari ini sudah berlari. Ada yang terpaksa menunggu delapan bulan. Apa-apa sahaja mungkin. Maka bukan semua manusia itu sama rentak berfikir. Bergantung.

Melihat kebesaran Allah dan mengagumi bermakna kita mulai berpijak di atas bumi yang nyata. Dunia yang bukan sekadar main-main dengan pelangi bewarna. Tapi dunia hamba. Bahawa kita bersikap dengan sikap kehambaan pada Tuhan kita. Jadi alam yang ada di sekeliling dimanfaatkan agar kita cemerlang di akhirat. Maka ada kefahaman kita fahamkan. Bukan jadi dungu.

“Dan Sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.” (7:179)

Posted by Posted by Ariff Arifin at 1:19 PM
Categories: Labels: ,

 

0 comments:

 
>