Friday, February 13, 2009


قال البربهاري : (( إذا رأيت الرجل يحب أبا هريرة, وأنس بن مالك, وأسيد بن حضير, فاعلم أنه صاحب سنة ـ إن شاء الله ـ وإذا رأيت الرجل يحب أيوب, وابن عون, ويونس بن عبيد, وعبدالله بن إدريس الأودي, والشعبي, ومالك بن مغول, ويزيد بن زريع, ومعاذ بن معاذ, ووهب بن جرير, وحماد بن سلمة, وحماد بن زيد, ومالك بن أنس, والأوزاعي, وزائدة بن قدامة, فاعلم أنه صاحب سنة. وإذا رأيت الرجل يحب أحمد بن حنبل, والحجاج بن المنهال, وأحمد بن نصر, وذكرهم بخير, وقال بقولهم, فاعلم أنه صاحب سنة))




Telah berkata Imam al-Barbahari Rahimahullahu Ta’ala: Jika kau melihat seorang lelaki mencintai Abu Hurairah, Anas bin Malik, dan Usaid bin Hudhair. Maka ketahuilah bahawa dia orang yang dekat dengan sunnah, Insya Allah. Dan jika engkau melihat seorang lelaki mencintai Ayyub, Ibn ‘Aun, Yunus bin ‘Abid, Abdullah bin Idris al-Audi, al-Sya’bi, Malik bin Mighwal, Yazid bin Zurai’, Mu’az bin Mu’az, Wahab bin Jarir, Hammad bin Salamah, Hammad bin Zaid, Malik bin Anas, al-Auzaa’i, dan Zaa’idah bin Qudamah, maka ketahuilah dia adalah pengikut sunnah. Dan jika kau melihat seorang lelaki mencintai Ahmad bin Hanbal, al-Hajjaj bin al-Minhal, Ahmad bin Nasr, serta menyebut kebaikan mereka, dan memberi pendapat dengan kata-kata mereka, maka ketahuilah dia adalah pengikut sunnah.



Imam al-Barbahari telah menyematkan kata-kata di atas dalam kitab beliau Syarhu al-Sunnah.





Siapa Imam al-Barbahari?



Beliau merupakan Al-Imam Ahlu al-Sunnah wa al-Jamaah, Abu Muhammad al-Hassan bin Ali bin Khalf al-Barbahari, Rahimahullah Ta’ala.



Al-Barbahari merupakan nisbah kepada ‘Barbahar’ iaitu sejenis ubat yang dibawa dari India.



Beliau adalah adalah salah seorang ulama dari kalangan Imam Ahlu al-Sunnah wa al-Jamaah Ahmad bin Hanbal Rahimahullahu Ta’ala yang mana beliau juga turut dinisbahkan dengan mereka (al-Hanabilah). Al-Syeikh al-Qahtani apabila mengulas mengenai al-Imam al-Barbahari, beliau berkata; “Meneliti (kehidupan-pent) Imam (al-Barbahari) ini adalah seperti meneliti orang-orang yang soleh lain sebelumnya.”



Beliau wafat pada tahun 329 Hijrah pada bulan Rejab.





Apa yang dimaksudkan?



Kata-kata di atas merupakan interpretasi kepada tanda seorang ahlu al-Sunnah. Yang mana al-Imam al-Barbahari menyatakan bahawa orang yang mempunyai rasa kecintaan kepada peribadi-peribadi yang disebutkan di situ layak untuk dinisbahkan sebagai orang yang dekat dengan Sunnah.





Peribadi-peribadi yang disebutkan



Terdapat 20 nama yang telah disebutkan.



Nama-nama seperti Abu Hurairah, Anas bin Malik, Malik bin Anas, dan Ahmad bin Hanbal adalah nama-nama bagi tokoh yang terkenal sebagai orang yang begitu rapat dengan agama ini.



Begitu juga dengan nama seperti al-Sya’bi, al-Auzaa’i, Zaa’idah bin Qudamah, al-Hajjaj bin al-Minhal dan lain-lain.



Mereka ini adalah para ulama serta periwayat hadith yang begitu tinggi martabatnya dan begitu hampir dengan Sunnah Rasulullah Salallahu ‘Alaihi wa al-Salam. Telah kita maklum bahawa para perawi hadith adalah orang yang begitu teliti dalam menjaga segenap unsur dalam kehidupan mereka.



Sebagaimana kata Ibnu Sirin yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam muqaddimah bagi kitab Sahih-nya bahawa; “Isnad (jalan-jalan pengriwayatan hadith) itu adalah agama, jika tanpa isnad, maka berkatalah siapa sahaja apa yang dimahukannya.”



Serta kata Ibnu Sirin bahawa; “Sesungguhnya ilmu ini adalah agama, maka perhatikanlah dari siapa kamu mengambil agamamu.”



Dua kata-kata ini menunjukkan bahawa para periwayat hadith merupakan orang-orang penting dalam agama. Maka sedikit sahaja unsur yang boleh mencacatkan; apa sahaja dari konteks ilmu penriwayatan mereka sehinggalah kehidupan peribadi mereka mampu menyebabkan mereka ditolak status.



Mereka inilah pembela umat, penebar dakwah yang sebenar, para lelaki yang berdiri di atas manhaj yang haq.



Maka, dapat difahamkan bahawa Imam al-Barbahari ingin menggambarkan bahawa orang-orang yang mencintai para ulama yang bertebaran, yang jelas manhajnya, yang benar aqidahnya, yang memahami al-Quran dan al-Sunnah di atas kefahaman al-Salaf al-Soleh merupakan orang yang tetap di atas jalan Sunnah, serta turut mempunyai ide yang sama sebagaimana para ulama tersebut.



Orang-orang yang menzahirkan rasa cinta dan sayang kepada para ulama tersebut tentu sekali bukan orang yang menyimpang dari ajaran al-Quran dan al-Sunnah.





Signifikan di sebalik gambaran



Kesan yang paling ketara dapat dilihat adalah apabila Imam al-Barbahari menyebutkan dua nama dari kalangan sahabat; yakni Abu Hurairah serta Anas bin Malik. Telah kita ketahui bahawa antara firqah yang membenci para Sahabat adalah mereka dari kalangan Syi’ah. Kebencian terhadap para sahabat telah dizahirkan dengan beberapa banyak di dalam hadith palsu yang memuatkan mengenai kekafiran para Sahabat dengan niat untuk menjatuhkan maruah mereka, dan tidak lain selain ingin membunuh keperibadian Rasulullah sendiri.



Maka, dapat kita ketahui bahawa, orang yang membenci Abu Hurairah serta Anas bukanlah dari kalangan pengikut al-Sunnah, bahkan mereka adalah orang yang paling jauh darinya. Mereka telah menjauhkan, serta memisahkan diri dari kalangan para sahabat. Maka mana mungkin mereka adalah dari kalangan pengikut Rasulullah. Kezahiran mereka dalam membenci para Sahabat seperti Abu Hurairah dan Anas cuma akan membawa mereka kepada kecelakaan. Berapa banyak hadith yang telah diriwayatkan oleh dua sahabat ini? Bagi orang yang mengetahui, maka mereka akan sedar bahawa penolakan hadith-hadith sahih yang telah diriwayatkan oleh dua sahabat ini akan mencacatkan agama mereka. Wallahua’lam.



Selain itu, nama-nama yang dinyatakan adalah orang yang paling berpegang dengan sunnah serta membenci ahli bida’ah. Mereka telah memisahkan bida’ah dari kehidupan mereka dan benar-benar menjejaki sunnah Rasulullah Salallahu ‘Alaihi wa al-Salam. Mereka adalah orang yang terpercaya, mengikuti kefahaman Rasulullah serta para Sahabat baginda serta telah meninggalkan bida’ah. Kerana perbuatan bida’ah mampu sahaja membawa kemudharatan kepada agama serta diri.



Sebagai contoh, Zaaidah bin Qudamah, Abu Hatim menyatakannya sebagai orang yang rapat dengan sunnah. Manakala Dawud al-Toyaalisi mengatakan bahawa Zaaidah bin Qudamah tidak mengambil hadith daripada pelaku bida’ah.



Jelas bahawa tokoh-tokoh yang disebutkan adalah pencinta dan orang yang rapat dengan kehidupan sunnah. Mereka membenci kebida’ahan dan telah meninggalkannya dari menjadi sebahagian dari kehidupan mereka. Mereka tidak meriwayatkan apa-apa dari teman rapat bida’ah. Bahkan mereka telah berlepas diri secara total dari mana-mana perbuatan bida’ah.





Kesimpulan



Dapat disimpulkan bahawa Imam Ahlu al-Sunnah wa al-Jamaah Abu Muhammad al-Barbahari Rahimahullahu Ta’ala ingin menegaskan bahawa tokoh-tokoh yang disebutkan adalah mereka yang akrab dengan sunnah, maka sesiapa yang mencintai mereka, maka kita ketahui dia adalah dari kalangan Ahlu al-Sunnah. Bahkan, dapat juga kita ketahui di sini bahawa sesiapa sahaja yang mencintai mana-mana ulama yang akrab dengan sunnah Rasulullah Salallahu ‘Alaihi wa al-Salam pada zaman mutakhir ini, maka dia adalah dari kalangan Ahlu al-Sunnah. Dan sesiapa yang membenci mereka, dia adalah golongan yang telah terpesong dari ajaran Rasulullah.



Diriwayatkan dalam Sahih Ibnu Khuzaimah dari Rasulullah Salallahu ‘Alaihi wa al-Salam; “Sesungguhnya para ulama adalah pewaris para nabi, sesungguhnya para nabi tidak mewariskan dinar serta dirham (yakni harta), akan tetapi mereka mewariskan ilmu. Maka sesiapa yang mengambilnya, dia telah mengambil bahagian yang besar dari yang banyak itu.”



Wallahua'lam.



Ariff.Arifin

Posted by Posted by Ariff Arifin at 7:28 AM
Categories: Labels:

 

0 comments:

 
>