Dalam menilai kecintaan kepada Rasulullah SAW. Kita tanya kepada diri sendiri, berapa banyak kita – dalam kehidupan – mencontohi baginda Nabi dalam sesetiap hal? Berapa banyak pula kita terkesan dengan kehidupan baginda? Dan berapa banyak pula kita mengamalkan sunnah baginda?
Tidak habiskah dengan maulid? Cukupkah dengan sekadar berarak di jalanan, kemudian mengaku akulah yang paling sayang Nabi? Begitukah caranya dalam menyatakan cintanya kita kepada baginda Nabi?
Tidakkah kita sedar bahawa kecintaan kepada baginda Nabi SAW melebihi manusia selainnya. Dalam pertemuan yang lepas, Syeikh Aiman memberi perumpamaan mengenai Hari Ibu yang disambut setiap tahun, dan bertanya apakah kita hanya memberikan kasih sayang sebanyak sehari sahaja. Maka, dalam hal baginda Nabi, kedudukannya lebih tinggi. Dan mencintainya bukan sekadar sehari. Lupakah kita akan kata-kata Nabi SAW sendiri dalam menyatakan mengenai perihal diri baginda?
Daripada Abu Hurairah R.A, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Demi jiwaku berada di tanganNya, tidak beriman seseorang kamu sehingga aku dikasihi olehnya lebih daripada ayah dan anaknya.”
(H.R Bukhari-Muslim)
Jika demikian, wajar sekali untuk kita punya kesedaran bahawa simbolik cintanya kita kepada Rasulullah bukanlah perkumpulan di jalanan selama sehari, berarak merentas bandar dengan sepanduk-sepanduk di tangan, dan melaung-laungkan selawat dan salam kepada baginda Nabi.
Kita kata, bukan itu caranya. Cara yang benar adalah mengamalkan sunnah baginda. Menitik-beratkan setiap sunnah dalam segenap aspek kehidupan. Mengambil berat dan cakna mengenai apa yang dilakukan oleh baginda dan cuba mengaplikasikan dalam hidup. Bukanlah dengan menghabiskan seharian di jalanan mengelilingi bandar, yang mana akhirnya jadi sia-sia akibat nyalaan sebatang rokok. Letih menyambut perayaan maulid, akhirnya jadi sia-sia disebabkan satu sedutan dari sebatang benda yang diharamkan.
Syiar kita dalam mencintai baginda adalah mengamalkan sunnah baginda Rasulullah SAW sebagaimana yang diriwayatkan oleh para Sahabat dan orang-orang selepas mereka. Berakidahkan dengan akidah baginda Nabi. Berjalan di atas denai-denai yang ditelusuri baginda. Itulah cinta.
Cinta ku pada Rasul tidak bertepi
Cinta ku pada Rasul hingga ke mati,
Cinta ku pada Rasul tidak berbelah bahagi
Cinta ku pada Rasul hingga ke mati,
Cinta ku pada Rasul tidak ‘kan sepi
Cinta ku pada Rasul hingga ke mati,
Cinta ku pada Rasul tidak mengenal hari
Cinta ku pada Rasul hingga ke mati,
Cinta ku pada Rasul bukan kepalang
Buktinya ada; Sunnahnya ku julang.
Friday, March 6, 2009
Posted by Posted by
Ariff Arifin
at
6:23 PM
Categories:
Labels:
islah kata
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment