Saturday, June 20, 2009


Kesejukan malam itu tak menghalang Firdaus dari terus berjalan. Walaupun hawa dingin itu menggigit hingga ke tulang, dia masih tegar berjalan.

Jalan gelap itu seolah menggamit perasaan yang suram. Dipandangnya ke kiri dan kanan. Tiada orang yang menemani.

Firdaus bingung. Ke mana pergi semua orang? Ke mana hilang rakan-rakan yang berjalan bersamanya tadi?

Perasaan takut mula menerjah ke sudut hati. Tapi tidak dihiraukan. Mana mungkin tidak ada rasa risau. Seorang diri. Jalannya gelap gelita. Tidak tahu apa yang bakal tersedia di depan mata.

Rakan pula tenggelam seorang demi seorang. Tiada lagi dengar suara walaupun panggilan dilaung. Tiada bersahut suara.

Tebing matanya mula basah. "Mana hilang rakan-rakan yang sama berjalan?"

Tersadung kaki. Rebah. Mata kelam. Dia cuba bangun sendiri. Tahu bahawa tiada lagi rakan yang akan tolong menariknya bangun.

Tiba-tiba. Muncul persekitaran yang asing bagi dirinya. Persekitaran yang ganjil pada dirinya.

Dugaan apa pula kali ini, bentak hatinya. Dugaan apa pula?

"Jadilah engkau di dunia ini seolah-olah engkau itu orang yang asing atau orang yang melalui satu jalan." [Bukhari]

Posted by Posted by Ariff Arifin at 1:37 PM
Categories: Labels:

 

0 comments:

 
>