Monday, November 24, 2008


Dua hari ‘bersekolah semula’ di Wangsa Maju. Saya dapati ada satu pelajaran penting, bahawa, apa yang pada zahirnya bersih itu, tidak semestinya bersih juga pada isinya. Apa yang nampak berdebu pada luarannya. Tidak semestinya kotor di dalamnya. Benar, bahawa pengalaman mengajar kita.

Dua hari menjadi fasilitator untuk satu program motivasi di sebuah sekolah, saya mendapati, tidak semestinya apa yang kita jangka dari awal apabila melihat atau mendengar akan sesuatu, tidak semestinya tepat. Telahan mungkin meleset.

Pada hari pertama, saya dan rakan-rakan ‘disajikan’ dengan adik-adik dari tingkatan dua, 5 kelas yang pertama. Apa yang saya jangka pada awalnya – bahawa mereka akan memberikan tumpuan 100%, serta aktif dan cepat faham – rupanya sedikit meleset. Walaupun begitu, saya ucapkan syabas kepada mereka kerana berjaya menemui objektif pada penghujung program. Mereka berjaya memahami apa yang diajar dan berjaya mengaplikasikannya.

Suasana pasif hari itu buatkan saya sedikit bimbang. Apatah lagi, dimomokkan oleh guru di sekolah tersebut bahawa esok ada cabaran yang lebih berat menanti. Pelajar-pelajar dari kelas terkebelakang. Rasa risau itu ditenangkan oleh abang Razak. Katanya, agar membuang perasaan negatif, dan letakkan bahawa mereka yang kita bakal temui esok adalah yang terbaik. Cerita yang dibawa, sekurang-kurangnya buat saya bersedia.

Benar kata abang Razak, mereka adalah yang terbaik. Penerimaan serta respon yang diberi lebih memberangsangkan dari rakan-rakan mereka pada hari pertama. Alhamdulillah, mereka tidak senakal yang dijangka. Bahkan, saya berani katakan mereka tidak nakal. Mungkin mereka mahukan perhatian. Tapi tidak nakal. Tidak hanya diam dan lebih suka bertanya. Banyak bertanya. Sungguh, mereka lebih mudah didekati berbanding rakan-rakan mereka pada hari sebelumnya.

“Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” (2:216)


Mereka 180 darjah berbeza dari apa yang saya jangka. Hidup memang tidak seperti yang dijangka. Hanya apa yang Allah taqdirkan, maka itu adalah ketentuan buat kita.

“Katakanlah: "Patutkah kita menyeru serta menyembah yang lain dari Allah, sesuatu yang tidak dapat memberi manfaat kepada kita dan tidak dapat mendatangkan mudarat kepada kita; dan (patutkah) kita dikembalikan undur ke belakang (menjadi kafir musyrik) setelah kita diberi hidayah petunjuk oleh Allah (dengan agama Islam), seperti orang yang telah disesatkan oleh syaitan-syaitan di bumi (di tempat yang lengang) Dalam keadaan bingung, sedang ia pula mempunyai sahabat-sahabat Yang mengajaknya ke jalan Yang lurus (dengan berkata kepadanya): "Marilah bersama-sama kami. "Katakanlah: "Sesungguhnya petunjuk Allah itulah sebenar-benar petunjuk, dan kita diperintahkan supaya berserah diri kepada Tuhan Yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam".” (6:71)


Benar sekali bahawa Allah lah yang memberikan manfaat dan yang memberikan mudharat. Jika sudah tertulis untuk kita, maka kita akan mendapatnya.

Posted by Posted by Ariff Arifin at 4:48 AM
Categories: Labels: ,

 

0 comments:

 
>