Apabila sebuah badan NGO yang menggelarkan diri mereka sebagai Gerakan Reformasi Rakyat Malaysia atau Reformis bertegas untuk melakukan demonstrasi dalam keadaan berbogel – walaupun permohonan permit sudah ditolak – untuk mendesak MB Selangor untuk mengkaji semula kenaikan kadar sewa rumah PPR, kita jadi terpegun. Dan kita jadi lebih terpegun melihat bahawa presiden kumpulan tersebut adalah seorang Melayu, yang beragama Islam. Terpegun bukan kerana apa, melainkan ‘mengagumi’ betapa bodoh dan jahilnya mereka. Rasa kecewa menjalar di segenap minda. Apakah begitu murah sekali maruah sehingga perlu berbogel untuk mendapatkan perhatian?
Memandang semula kepada acara demonstrasi – samada dalam keadaan aman ataupun hingar – yang diadakan sebelum ini. Kita dapati bahawa – di dalam sejarah Malaysia – perkara ini adalah yang pertama. Namun apa signifikannya untuk mereka berbogel dalam membantah kerajaan negeri Selangor? Apakah mereka yakin bahawa pertunjukan bogel itu mampu membuatkan kerajaan Selangor tunduk kepada kehendak mereka, sehingga mereka merasa selamat serta berbaloi untuk berbuat demikian?
Memandang kepada isu ini, kita akan mendapati bahawa mereka telah terikut-ikut dengan sikap barat dalam melahirkan rasa tidak puas hati. Betapa mereka di sana, jika berpiket akan punya orang-orang yang bertelanjang di jalanan, kononnya sebagai tanda protes kepada pihak yang dibantah. Namun, kita sama sekali tidak dapat pastikan tentang keberkesanan perilaku mereka tersebut.
Bertelanjang di jalanan bukan sahaja menentang dogma masyarakat Melayu, bahkan, yang lebih utama, melawan apa yang telah disyari’atkan oleh Islam. Meniru budaya si kaum kafir adalah dilarang, apatah lagi perihal berbogel di jalanan.Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah sebahagian daripada mereka. (Riwayat Ahmad dalam al-Musnad, dinilai shahih oleh al-Albani)
Apakah perlu untuk kita tunduk kepada kejahilan yang dirantai oleh nafsu. Sehingga kita akhirnya berani untuk bertindak sedemikian? Kenapa perlu mendewa-dewakan metode dari barat sehingga kita bertindak menentang arus pemikiran yang waras? Apakah mereka-mereka ini yakin, bahawa mereka akan terlepas dari azab Allah dengan hanya menjawab, “Kami membela masyarakat.”
Takutlah kepada Allah wahai sekalian manusia.Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepadanya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya dimaqbulkan). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya. (Al-A’raf:56)
Niat tidak akan sesekali menghalalkan cara. Dan bukanlah itu solusi yang digambarkan oleh Islam. Sedang pada Islam, setiap sesuatu itu perlu ada tuntunan dari al-Quran mahupun as-Sunnah. Apakah mereka tidak berfikir bahawa kejahilan mereka ini akan membawa kerosakan kepada mereka sendiri. Kita sendiri tahu bahawa kita tidak akan betah dengan pembalasan Allah.
Perlakuan yang memualkan ini langsung tidak mencerminkan ia datang dari Islam. Apakah wajar mereka-mereka yang beragama Islam berbuat demikian? Sebarang suara kepada kerajaan perlulah melalui jalan yang waras. Jika mereka berada di pihak yang benar, apakah perlu untuk mereka bertelanjang? Mereka yang waras, dengan mudah dapat mengesan sebarang kedangkalan yang wujud pada ide-ide seperti ini. Mungkin, rasa hormat pada diri sendiri sudah makin pudar, hingga akhirnya, kita meletakkan diri seperti binatang?Dan sesungguhnya Kami jadikan isi neraka jahanam banyaknya dari kalangan jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya, dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya; mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai. (Al-A’raf: 179)
Mereka yang punya hati tentu sekali faham apabila Islam melarang. Mereka yang punya mata dan telinga, pasti akan melihat serta mendengar nas-nas yang berkaitan. Mana mungkin mereka yang punya akal akan tertarik dengan talbis-talbis iblis serta ajakan kepada kebinasaan.
Mereka sewajarnya bertaubat kepada Allah, dan membatalkan niat mereka. Sesungguhnya azab Allah Azza wa Jalla itu amat pedih untuk ditanggung. Suara-suara yang benar pasti tidak akan padam, namun perlulah melalui jalan-jalan yang betul dan menjauhkan diri dari kejahilan. Sungguh, luahan rasa mereka itu cuma terarah kepada kesesatan yang nyata. Nyata, ada manusia yang terlalu bodoh untuk berjalan di atas kiat-kiat kedangkalan.Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). (Ali ‘Imran: 135)
Tuesday, December 2, 2008
Posted by Posted by
Ariff Arifin
at
12:10 PM
Categories:
Labels:
islah kata
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment