Monday, December 29, 2008


Merenung kembali kepada permasalahan ‘siapa pengikut manhaj’, atau ‘siapa yang berjalan di atas manhaj Salafussoleh’. Kita akui bahawa benar, kita membuka ruang lingkup yang luas kepada pengikut manhaj. Kita katakan bahawa kita tidak pernah menghadkan golongan salafi, sunnah, tajdid – pakailah apa sahaja gelaran – kepada orang yang begitu atau begini. Atau kepada kelompok yang semacam itu atau semacam ini. Siapa sahaja yang laras aqidahnya sama dengan apa yang disampaikan oleh sadiqul masduq, Muhammad SAW, adalah orang yang benar aqidahnya.

Namun, kenapa apabila kita cuba membuka ruang lingkup ini, kenapa akhirnya kita terjatuh dalam ruang yang menyebabkan kita akhirnya menghina satu kelompok lain tanpa sedar? Kadangkala paradigma yang kita cuba sampaikan terlalu longgar sehingga menyinggung orang lain, bahkan mungkin lebih dari itu, kita akhrinya terjerumus menyinggung apa yang telah disyariatkan oleh agama itu sendiri.

Tanpa disangka, timbul lagi isu bahawa kelompok salafi itu bukanlah hanya terhad kepada orang yang berjanggut, orang yang tidak isbal, mahupun orang yang menggerak-gerakkan jari mereka dalam solat. Ya benar. Secara teorinya kita tidak kata gelar nama salafi, atau aqidah Salafussoleh itu adalah milik mereka itu secara total. Namun kenapa isu ini terus-terusan dijadikan modal untuk membuktikan bahawa manhaj ini terbuka? Bahawa jika manhaj ini terbuka, ia milik siapa sahaja yang aqidahnya haq, dan bukan statik milik golongan itu.

Persoalan sekarang, apakah paradigma yang diberikan itu adalah tepat?

Bukankah setiap dari isu itu – tidak kira janggut, isu non-isbal, mahupun tahrik jari dalam solat - adalah sunnah yang thabit dari Rasulullah? Apakah dengan menggunakan alasan tasammuh, akhirnya kita tanpa sedar telah mencerca peribadi-peribadi yang iltizam di atas jalan-jalan tersebut. Apakah dengan niat ingin meraikan orang yang tidak berjanggut, mereka yang isbal dan sebagainya, kita akhirnya memperlekehkan orang yang melazimkan diri dengan perkara-perkara tersebut?

Atau paling tidak, kita menjadi orang yang membunuh semangat-semangat salafi dalam diri setiap kelompok yang cuba untuk iltizam di atas sunnah, tidak kira dengan sunnah yang kecil mahupun yang besar. Sesungguhnya perlu sekali untuk kita ingat bahawa, setiap sunnah itu adalah tapak-tapak kepada aqidah.

Mungkin jika dipandang pada sudut pandang yang enteng. Isu janggut, isbal atau tidak, mahupun pergerakan dalam solat bukanlah isu pokok. Yang mana ramai yang mengalihkan kiblat perbincangan kepada persoalan aqidah. Ya benar, tidak pernah ada orang menafikan bahawa jika disebutkan dengan manhaj salaf, yang pertama akan dikaitkan adalah kerangka berfikir dalam aqidah. Namun jika benar-benar diteliti isu mengikut sunnah yang dianggap remeh ini bukanlah sebarangan. Ini juga adalah dasar-dasar kepada aqidah.

Jelas, ia bukan satu modal lawak picisan. Maka kenapa mesti diulang-ulang isu ini? Sudah ketandusan modalkah jika kita mahu menyatakan bahawa manhaj aqidah salafiyyah ini adalah untuk semua? Sungguh. Islam itu luas, dan ruang lingkup pengikut-pengikut aliran manhaj salafussoleh juga luas. Namun jika berterusan meletakkan isu-isu sensitif ini sebagai satu tanda aras, maka jelas sekali ia tidak sesuai.

Sensitifnya isu ini kerana ia berkait dengan sunnah Rasulullah. Walau ia nampak seperti kecil, enteng dan sebagainya. Namun nilaiannya bukanlah kecil. Kita cuma risau bahawa kita akan jadi orang yang menghina sunnah Nabi SAW serta para Sahabat baginda R.Anhum. Bukankah bahaya jika demikian keadaanya? Siapa yang berani menidakkan, bahawa penafian serta penghinaan kepada sunnah baginda adalah suatu perkara yang mampu menyebabkan seorang Muslim terkeluar dari millah?

Aqidah itu bukan hanya dipandang pada satu sudut. Tapi perlu diselidik dari pelbagai keadaan. Dari sebesar-sebesar perkara sehingga sekecil-kecilnya. Kita bukan hanya melihat aqidah yang haq pada yang tunjang. Tapi juga dari untaian urat-urat nipis kecil.

Sunnah itu, jika ada yang mengikuti. Kita hargai. Walau mungkin mereka itu aqidahya belum 100% suci dan asli. Namun – secara praktikal – kita hargai mereka kerana mereka sanggup untuk terjun dari tingkap kejumudan dan membuka mata untuk menerima sesuatu yang baru. Kita katakan Jazahumullahu Khair! Dan moga Allah membuka pintu hidayah buat mereka. Semoga dengan usaha untuk mengikut yang berdikit-dikit ini, mereka mampu untuk jadi kelompok yang suci aqidahnya suatu hari nanti.

Jika isu-isu ini terusan dibangkitkan. Maka tidak mustahil pada suatu hari nanti ianya jadi bahan jenaka, walhal itu adalah sunnah baginda Rasulullah SAW! Mungkin perlunya kita untuk mencelikkan mata. Bukan terus-menerus buta dan tuli.

Ini bukan lagi isu siapa ori atau siapa spicy. Tapi isu berkenaan dengan sunnah yang layak diikuti. Untuk mencari persamaan antara pengikut manhaj salafiyyah, bukanlah dengan cara menghilangkan perbezaan itu secara total. Apatah lagi jika itu adalah sunnah baginda Rasulullah SAW.

Akan tetapi kita melihat bahawa persamaan ini kita boleh jadikan satu dasar, untuk membentuk kekuatan. Inilah intipati yang perlu ada jika kita benar-benar ingin mencari persamaan.

Perbezaan pula dinilai dengan sudut yang rasional. Jika perbezaan yang wujud pada satu kelompok itu mampu menyebabkan ianya keluar dari sekte aqidah yang benar dan haq. Maka apa perlu lagi untuk kita mencari persamaan?

Pada hemat saya, tidak perlu untuk kita membuka pintu persamaan dengan membuang terus apa yang berbeza. Kita ini, kaki-kaki yang memijak, berjalan di atas landasan dakwah salafiyyah sepatutnya perlu meletakkan sunnah Rasulullah pada satu tempat yang tinggi kedudukannya. Jangan sesekali kita akhirnya menjadi orang yang menggores mencalarkan wajah dakwah. Wallahua’lam.

------------------------------------------

Baru sahaja lebih pulang dari Kovensyen Sunnah ke-4 di UniKL MICET, Alor Gajah, Melaka. Alhamdulillah. Pengalaman yang bagus dan menarik.

Posted by Posted by Ariff Arifin at 7:01 PM
Categories: Labels:

 

0 comments:

 
>