Thursday, January 1, 2009


Tulisan ini adalah lontaran kata dari apa yang dikutip sepanjang perjalanan. Menilai apa yang yang dilalui para du'at dakwah salafiyyah di atas denai dakwah. Sekadar peringatan buat diri sendiri. Wallahua'lam.

------------------------------


Dalam menilai takaran dakwah yang dilakukan. Kita perlu sedar bahawa yang paling utama adalah untuk menegakkan prinsip serta membuka ruang yang luas dan secukupnya kepada dasar-dasar manhaj. Maka, apabila ada orang berkata, “We’ll not compromise the truth.” Kita katakan Jazakumullahu khairan kerana begitu tegas sekali dengan prinsip mereka. Benar. Tiada siapa yang mahu, ataupun mampu untuk menggadaikan prinsip.



Namun malang sekali jika orang-orang yang prinsipnya tegas tapi cara dakwahnya salah. Dalam dakwah, ada etika yang mesti dipatuhi, ada keadaan yang perlu dipenuhi. Sudah banyak kali diulang-ulang. Kita lihat pada siapa kita berbicara tentang agama. Maka kita berbicara kepada mereka pada kadar-kadar yang mampu mereka cerna. Nabi SAW dalam dakwahnya kepada kaum Jahiliyyah begitu teratur adabnya. Tidak menekan, tidak juga terlalu longgar. Akan tetapi aturan dakwahnya begitu mantap dan berkesan.



Itulah cara dakwah yang sebenar. Tidak menekan, akan tetapi penuh dengan kesabaran dan keikhlasan. 13 tahun masa yang diberikan oleh baginda berbuat dakwah di Mekah bukanlah sekejap. Namun kenapa ramai sekali orang hari ini begitu lancang katanya, seolah-olah menidakkan bahawa dakwah itu ada peringkatnya? Tidak sedar ataupun telah dibutakan hati mereka ini?



Etika dalam dakwah, kita bukanlah memaksa untuk orang mengikuti kita. Melainkan kita menyampaikan apa yang haq sebagaimana yang telah termaktub dalam syari’at Islam. akan tetapi ramai sekali du’at yang melupakan hakikat bahawa Islam itu bukan tertegak dalam masa sehari dua, melainkan beberapa tahun lamanya. Ini kerana para Anbiya’ itu diutuskan sebagai penyampai risalah, dan bukanlah mereka yang memasukkan hidayah ke dalam hati-hati-hati manusia. Jika para Nabi sendiri begitu sekali kita katakan. Siapa pula kita?



Bukanlah engkau seorang yang berkuasa memaksa mereka. (88:22)




Ibnu Abbas menafsirkan ayat di atas sebagai suruhan kepada Rasulullah untuk tidak memaksa atau menjadi kurang sopan dalam mengkhabarkan mereka (mad’u-pent) perihal iman. Ini jadi petunjuk bahawa banyak sekali keburukan akan hadir jika bersikap memaksa mereka atau bersifat keras ke atas mereka untuk menerima ajaran yang benar. Kita lihat betapa cantik dan rapi sekali susunan Islam. Jika Nabi itu dilarang untuk berlaku kasar ke atas masyarakat jahiliyyah ketika itu. Apa pula kita hari ini sesama Islam?



Dakwah bukan membuta tuli. Melainkan ada paksi yang perlu diikuti. Hari ini, ramai du’at jadi pemaksa. Memaksa manusia mengikuti jalan mereka. Wahai du’at sekalian. Perlu diingat bahawa, akhlaq juga ada peranan. Belum tentu kata-kata yang benar mampu menerobos masuk ke dalam hati-hati manusia jika akhlaq sang penyampai adalah gagal. Wahai du’at. Perhatikan akhlaq para Rasul. Bandingkan dengan diri kita. Jika Rasul yang diberikan risalah itu tidak memaksa manusia-manusia berdiri di atas jalan mereka. Kenapa kita perlu jadi sebaliknya?



Dakwah itu juga bukan juga ikut telunjuk hati sendiri. Betapa banyak sekali bukti bahawa Nabi SAW itu orang yang begitu dan begini. Cara dakwahnya pula seperti itu dan seperti ini; sebagaimana yang telah disyari’atkan kepada baginda. Etikanya semacam itu dan ini. Tapi ramai pula yang keras kepala mengatakan cara dakwahnya sahaja yang paling benar di sisi Islam. Kita katakan, Nabi SAW itu orangnya lembut dalam dakwah. Para Sahabat R.Anhum itu lembut juga dalam dakwah. Begitu juga tabi’in dan tabi’ tabi’in serta para-para pengikut di atas jalan yang haq. Mereka ini semuanya lembut dalam menyampaikan kebenaran. Mereka bertegas dengan prinsip, namun mereka tidak pernah meninggalkan kelembutan dan hikmah. Mereka memasukkan intipati kebenaran dengan cara yang tidak dapat kita bayangkan.



Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; Sesungguhnya tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalannya, dan dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk. (an-Nahl: 125)




Ibnu Katsir menyatakan bahawa Ibnu Jarir at-Tabari meletakkan penafsiran perkataan hikmah di dalam ayat ini adalah; apa-apa yang diturunkan ke atas Nabi Muhammad SAW daripada al-Quran dan al-Sunnah. Manakala al-Baghawi menyatakan maksud mau’izah al-hasanah (nasihat pengajaran yang baik) di dalam ayat ini sebagai mau’izah al-Quran. Jelas bahawa, timbangan dalam dakwah; dari segi metode mahupun uslub dakwah itu perlulah dirujuk sebagaimana apa yang telah termaktub dalam al-Kitab mahupun nas-nas daripada al-Sunnah. Kepada siapa lagi kita memandang cara dakwah jika tidak berpandukan jalan yang telah dirintis oleh Nabi SAW?



Ada yang bertanya. Apakah jika berdakwah dengan tegas dan itu tidak hikmah? Apakah menentang bida’ah yang berleluasa dengan cara yang kasar itu tidak hikmah jua? Apakah salah cara membantah bida’ah itu dengan keras?



Kita katakan bahawa terima kasih kerana sudi sekali membantah apa sahaja yang buruk yang tiada dasarnya dalam Islam. Terima kasih kerana begitu jelas dalam menentang kebida’ah serta kemaksiatan yang berleluasa. Namun, perlu juga diingat bahawa, teguran itu perlulah dilakukan dengan kaedah yang benar supaya hati-hati manusia yang berbuat salah itu kembali ke atas jalan yang sah. Ke atas jalan yang disyariatkan kepada Rasul SAW. Maka kita membantah dengan tegas; tapi penuh dengan kebaikan, bahkan dengan cara yang lebih baik. Para mufassirin seperti al-Syanqithi dalam kitab beliau; Adhwa’u al-Bayaan menyatakan bahawa ayat; “dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik” itu sebagai arahan oleh Allah kepada Nabi-Nya untuk berbahas dengan cara yang baik, dengan menzahirkan yang haq dengan sifat al-rifq (lemah lembut pada perasaan-pent) dan al-liin (lembut pada perbuatan-pent).



Nabi selama 13 tahun di bumi Makkah tidak pernah mengisi ruang-ruang hati manusia-manusia dengan suatu yang mampu menjauhkan mereka dari Islam. Nabi itu selama 13 tahun di Makkah tidak pernah pergi menjatuhkan berhala-berhala di sekitar Ka’abah. Nabi itu selama 13 tahun di Makkah tidak pernah melakukan provokasi yang dahsyat kepada kaum musyrikin ketika itu. Nabi SAW itu menyampaikan apa yang haq dan tidak membuat sesuatu yang mampu memalingkan hati-hati manusia dari kebenaran; yakni Islam. Muhammad SAW itu sampai begitu sekali etikanya dalam dakwah. Namun ada beberapa golongan yang terlebih lajak dari laju. Begitu cepat sekali menghukum manusia seperti hidayah itu ada di tangannya. Seperti dia yang meletakkan kaum manusia di atas jalan keimanan. Akhirnya tinggal dia sahaja yang benar. Orang lain pula bagaimana? Ada yang menghukum yang itu bukan salafi. Ada yang cepat menghukum orang itu si mubtadi’. Wahai du’at salafiyyah. Jaga tutur kita. Selagi belum tertegaknya hujjah. Kawallah sahaja mulut-mulut yang lancang itu. Menghukum manusia itu bukan seperti bermain satu teka-teki. Tersilap tebak, buruk padahnya. Akhirnya kita sendiri terkeluar dari jalan yang lurus ini.



Mulut-mulut du’at mengatakan metode dakwah nabi adalah yang terbaik. Produk tarbiahnya juga cemerlang-cemerlang belaka. Namun kenapa para du’at juga yang menyisihkannya? Kenapa orang-orang yang mengaku ingin jadi paling dekat dengan metode Nabi SAW. Jadi orang yang paling jauh meninggalkan. Wahai du’at salafiyyah, tidakkah kamu tahu bahawa betapa Allah membenci perilaku sedemikian? Tidak takutkah kita akan kebencian Allah ke atas diri sendiri?



Bibir-bibir du’at yang sering merakamkan bahawa perlunya akan istdilal dari nas yang shahih; dari al-Quran mahupun al-Sunnah. Akan tetapi mereka jugalah yang meninggalkan keperluan ini. Mereka tidak melihat akan perlunya dalil itu ditegakkan dari hujjah secara menyeluruh, tapi cuma berdalilkan satu atau dua nas atau keadaan. Ada yang ego kononnya tahu belaka. Ada pula yang bodoh sombong tidak mengakui kesilapan diri. Sikap-sikap inilah yang akhirnya membunuh para da’ie. Membunuh mentaliti dan cara fikir yang haq. Yang akhirnya dicampur adukkan dengan kebathilan.



Wahai para du’at. Kembalilah kepada fikrah dakwah yang sebenar. Metode yang benar perlu dilengkapkan kepada diri, dan hiasinya dengan akhlaq yang sempurna sebagaimana kita telah warisi daripada Nabi SAW; dari al-Quran dan al-Sunnah menurut kefahaman para Salaf. Bukanlah bagi kita ketegasan yang membabi buta. Bukanlah juga metode dakwah menurut hawa.



Kita imbas kembali setiap detik dakwah seorang lelaki suci bernama Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muthalib SAW. Perhatikan setiap gerak lakunya dalam dakwah. Perhatikan juga setiap saat baginda dalam medan dakwah. Apakah pernah ia dicemari dengan sikap buruk dan akhlaq yang menjijikkan? Demi Tuhan yang jiwa-jiwa kita ini di tangan-Nya, hatta sekali pun, tidak pernah ada unsur-unsur kotor yang jadi debu-debu yang menghinggap atas jalan dakwah baginda. Kenapa bila kita berada di atas jalan suci itu. Kita memalitkan kotoran-kotoran tercela? Dan kenapa tidak kita berusaha mengekalkan kesucian?



Kita ini di dunia mahu cari keredhaan Allah Azza wa Jalla. Maka marilah kita bersama-sama kembali kepada sifat asal dakwah Rasulullah SAW. Sosok yang telah mengajarkan kita banyak erti, erti sebenar dakwah. Marilah kita penuhi apa yang telah Allah syari’atkan kepada kita dengan taqwa dan kesabaran.



ليس للناس موضع في فؤادي

زاد فيه هواك حتى امتلا

Tidak ada yang lain dalam lubuk hatiku

Melainkan mengikut kehendak-Mu sehingga memenuhinya





Posted by Posted by Ariff Arifin at 5:50 AM
Categories: Labels:

 

0 comments:

 
>