Saturday, March 14, 2009


Merancang kehidupan bukanlah semudah membilang 1,2 atau 3. Bukan juga semudah mengungkapkan abjad-abjad A, B, C dan D. Tetapi memerlukan sesuatu yang lebih dari itu. Perancangan masa depan adalah sesuatu yang amat-amat penting dan menentukan halatuju samada mampu sampai ke tempat tujuan atau tidak.

Perancangan kehidupan, boleh sahaja diibaratkan sebagai mencorak perjalanan. Kehidupan serta agama itu sendiri adalah hayunan langkah dan denai-denai jalan, dan tujuan itulah destinasi.

Maka, dalam anggapan sedemikian, bagi seorang Muslim yang beriman kepada Allah, Rasul-Nya serta hari akhirat, maka dia akan tahu bahawa tujuannya adalah syurga. Mana mungkin orang yang beriman mahu pilih kiat-kiat ke jahanam?

Dalam memilih syurga, kita mengatur corak perjalanan kehidupan. Kita menyusun segala yang termampu untuk ke sana. Namun, dalam mencorak perjalanan mencari syurga, ramai pula tercampak dalam lembah kesesatan yang hina lagi menyesatkan.

Tersilap langkah kerana tidak mahu mengikut jejak-jejak yang ditinggalkan oleh Nabi serta Salaf al-Ummah. Sebaliknya mengekori jejak-jejak yang entah milik siapa, ada yang lebih teruk membuat sendiri denai-denai yang akhirnya menuju ke arah kesesatan. Inilah perumpamaan sesatnya perbuatan bida’ah. Analogi yang mudah untuk menggambarkan sesuatu.

Agama itu sebagai denai jalan. Makanya, jika digambarkan bagi seorang pelawat hutan belantara buat pertama kali, tentu sekali dia akan melalui jalan yang sudahpun pernah diteroka oleh orang sebelumnya, dan jalan itu benar-benar akan membawanya ke destinasi. Itu sudah memadai baginya. Namun jika dia pandai-pandai membuat akal sendiri, membuat jalannya sendiri, maka mungkin sahaja dia tersesat.

Bida’ah di dalam agama juga begitu. Pertama kali ia berlaku akibat wujudnya keadaan manusia yang cuba-cuba untuk tunjuk pandai lebih dari Nabi dan Salaf al-Ummah. Malang lagi mereka mencari-cari dan mereka buat sesuatu yang baru di dalam agama. Tidak seperti yang sudah tersedia contohnya. Maka apa tidak mungkin untuk mereka menjadi sesat?

Walhal, terang-terang wujud peringatan dari Nabi SAW bahawa buruk sekali bida’ah itu. Apa mereka juga mahu tunjuk pandai kata bahawa Nabi itu katanya salah? Atau perbuatan serta perkataannya itu boleh dilawan-lawan? Apa bezanya orang yang mengaku sunni, tetapi berkasutkan bida’ah dengan mereka dari golongan syi’ah? Jika si syi’ah gah membidas bahawa Nabi SAW itu bobrok ajarannya kerana sekalian sahabat sudahnya sesat. Apa pembeza dengan pelaku bida’ah? Mereka juga kata ajaran Nabi itu ada cela. Akibat menambah-nambah perkara baru di dalam agama, seolah bahawa risalah itu tidak sempurna!

Mahu jadi apa kah kita ini? Sudah berani menebuk-nebuk risalah dari langit dengan api-api bida’ah? Mencalitkan kekotoran yang bernanah. Apa Islam ini tempatnya di tong sampah sekadarnya? Agama ini lebih mulia dari itu! Untuk menambah-nambah sesuatu yang baru, apa layaknya untuk kita berbuat begitu? Banyakkan istighfar wahai orang yang mengambil mudah perkara ini. akibatnya sudah kita pastikan sebagaimana yang dikhabarkan oleh Rasul kita!

Posted by Posted by Ariff Arifin at 8:30 AM
Categories: Labels: ,

 

0 comments:

 
>