Wednesday, April 22, 2009


Saya rasa tidak ada orang di atas dunia ini begitu bodoh mahu buat kerja tanpa sebab. Dan, bagi saya, begitu jugalah keadaannya dalam melakukan ibadat. Kita buat ibadat mesti ada sebab, atau dalil yang menyuruh.

Kalau diikutkan dalam kaedah fiqh; الأصل في العبادات الحظر atau الأصل في العبادات التحريم yang membawa makna; asal sesuatu ibadat adalah dilarang atau haram. Maksudnya jelas di situ bahawa kita dilarang untuk buat apa-apa ibadat melainkan berdalil, ada nas. Saya tidak mahu ulas. Kerana saya bukanlah seorang yang pandai. Dan saya juga sudah malas, kerana ada orang, apabila dibentangkan dengan perkara ini, dengan segala macam bukti, tidak mahu juga dengar. Jenuh bercakap, asyik buat tidak endah. Entahlah..

Dari sudut logik akal sekalipun, kita bekerja ada bersebab. Buruh kasar yang datang dari Indonesia bila ditemu-bual kenapa beliau bekerja, datang jauh-jauh, naik tongkang, mengambil risiko untuk lolos dari imigresen, sudah pasti akan menjawab; "Kok saya mau duit. Perlu saya kerja. Apa bapak ada kerja yang lumayan? Saya tidak kisah. Asal ada ganjarannya, pasti saya kerjain."

Ya. Tuan-tuan lihat. Itu kalam seorang pekerja import dari tanah seberang.

Dia bekerja kerana mahukan duit. Dan bagaimana dia tahu dia akan dapat duit. Ini kerana sudah ada janji dari bosnya bahawa dia akan dapat sekian-sekian upah hasil kerjanya yang sekian-sekian juga.

Kita yang buat ibadah macam mana? Kita buat ibadah dengan ikhlas kerana Allah Ta'ala. Kita mahu mentaati perintah Allah. Betul tak?

Selain itu, kerana kita mahukan pahala. Benar atau tidak tuan-puan? Ada ke yang buat ibadah tak mengharapkan apa? Aiiii... Tipulah siapa yang cakap tidak. Mana ada orang yang solat cukup 5 waktu kata dia tidak kisah kalau dia tidak dapat syurga dan tak rasa apa masuk ke neraka? Orang yang mereng saja kata demikian.

"Tapi kita buat benda baik. Semua benda itu baik. Bagus-bagus. Benda bagus konfem dapat pahala maaaaa..."

Wah, saya tidak berani mengonfemkannya untuk anda. Di sinilah kita kembali kepada perbahasan kaedah yang saya bawakan tadi. Macam mana mahu saya konfemkan pahala baginya kalau ianya haram?

Dan lebih dari itu, bagaimana mahu kata ianya dapat pahala. Sedangkan tidak ada janji apa-apa dari Allah yang datang bahawa kita akan dapat pahala baginya?

Alahai... Buruh tadi pun tahu dia akan dapat upah kerja berdasarkan kontrak.

Kita bersolat ada dijanjikan ganjaran. Kita berpuasa pun sama. Kita bayar zakat juga sama. Kita menuntut ilmu pun ada ganjaran yang dijanjikan. Bacalah al-Quran, semaklah hadith. Pendek kata, ibadat yang sepatutnya kita buat (dan yang mana itu saja kita patut buat) adalah sepertimana yang ada ditunjukkan dalam agama Islam ini. Yang ada dalil tentangnya. Yang datang nas bercerita mengenainya. Yang mana, kita juga pasti ada ganjarannya dan apa balasan jika tidak kerjakannya.

"Habis tu? Tak dapat langsunglah? Kan Tuhan kita Maha Pemurah?"

Ya. Benar sekali sedara. Maha Suci Allah yang Maha Pemurah sifat-Nya. Di sini kita perlu mengkaji kata-kata serta janji Baginda Nabi. Apa saudara yakin saudara akan dapat pahala bagi suatu-suatu ibadat yang hanya berteraskan kebaikan tanpa dalil? Sedang ada larangan dari Nabi kita. Pasal orang yang melakukan inovasi dalam ibadah, atau buat amalan yang Baginda tidak ajar, bukan dari golongannya. Err.. Kalau begitulah kan? Macam mana sedara mahu kata sedara dapat pahala, padahal Nabi sendiri kata begitu?

Saya ingin ulang ayat yang biasa kita dengar dalam bayan-bayan Jemaah Tabligh. "Tuan-tuan yang mulia! Kejayaan hidup manusia terletak dalam kesempurnaan agama. Iaitu dengan ikut perintah Allah dan sunnah Rasulullah!"

Yaaaa.. Benar sekali kalam itu. Kejayaan hidup manusia adalah dalam agama yang sempurna. Bukan agama yang kita tokok tambah. Bukan yang dikurangkan. Bukan juga yang diubah bentuknya ikut suka hati anda. Agama ini bukan robot Transformers yang boleh tuan-tuan ubah ikut daya kreativiti tuan-tuan.

Maka, ayuhlah kita berfikir!

Posted by Posted by Ariff Arifin at 9:12 AM
Categories: Labels: ,

 

0 comments:

 
>