Saturday, May 2, 2009


Orang kita (baca: Melayu) sangat takut dengan hantu. Takut satu hal. Percaya pula satu hal yang lain. Orang kita ini, saya kira paling rapat dengan hantu dan syaitan agaknya. Jangan marah pula kalau saya kata begini. Sudah terbukti benar. Ada 'Jangan Pandang Belakang'. Ada 'Jangan Tegur'. Esok mungkin keluar tajuk, 'Jangan Berkawan'. Baik buat tajuk, 'Toksah Percaya'.

Saya menulis sebagai respon kepada rasa tidak puas hati lagi jelik dengan lambakan cerita hantu Melayu di pawagam. Dan yang paling teruk, yang beredar di TV. Terutamanya, cerita bodoh macam seleksi drama Keliwon yang disiarkan setiap malam Khamis (entah apa signifikannya pemilihan malam ini?) dan disuap kepada masyarakat. Orang kita pulak ternganga-nganga tengok drama semacam ini.

Tolak ke tepi lah majalah-majalah hantu yang tidak berasas seperti mana Mastika, Cermin, Mistik, Splastik, Plastik, dan entah apa-apa lagi tajuk di pasaran yang sememangnya telah terbukti tidak boleh pakai serta mengotorkan minda masyarakat. Sekarang ada pula cerita-cerita dongeng yang saya sendiri tak tahu mengapa boleh terlepas untuk disiarkan dalam TV, dan biarkan budak-budak kecil menonton.

Konon-kononnya cerita ini adalah untuk memberi iktibar kepada masyarakat agar tidak buat itu dan ini yang menyalahi agama. Tapi huduhnya perangai mereka, adalah mereka telah menipu masyarakat dengan buat cerita bukan-bukan sehingga ada yang terpercaya.

Teruk lagi cerita hantu, kadang-kadang berorientasikan kesyirikan.

Orang kita sudah macam hilang guideline. Buat apa sahaja mereka suka. Dan hendak kaver, gunakan alasan;

"Welllllll... Kami hendak beri iktibar kepada masyarakat... Sebab tu kami buat cerita hantu ni......"

Semua orang pun boleh cakap macam itu. Kita sebenarnya masih berada di takuk jumud. Terlalu asyik dengan hantu dan syaitan. Padahal banyak lagi benda lain yang boleh dibuat dan boleh difikirkan. Bagaimana nak hadam ilmu kalau asyik tengok benda mengarut dua puluh empat jam?

Maka tak hairanlah kalau ada peristiwa histeria di sekolah. Pelajar meraung-raung sebab takutkan hantu jembalang. Sebabnya mudah, orang Melayu memang berkawan rapat dengan hantu jembalang.

Saya bukan saja-saja hendak mengutuk. Tapi memang benar orang kita demikian sifatnya. Jadi usah marah kalau buku Walter William Skeat yang bertajuk Malay Magic (dan yang dijadikan rujukan oleh grup pencari hantu karut ala Ghostbuster Malaysia) itu mendedahkan betapa mengarutnya masyarakat kita berdasarkan pengamatannya terhadap masyarakat Melayu. Sebenarnya saya masih tertanya-tanya, samada buku itu yang mempengaruhi masyarakat kita. Atau Walter William Skeat yang dipengaruhi masyarakat kita.

Renungkan.

Posted by Posted by Ariff Arifin at 9:30 AM
Categories: Labels:

 

0 comments:

 
>