Friday, July 31, 2009


Tokki berjalan lambat-lambat.

"Sudah-sudah lah bercakap mengenai arwah. Dah meninggal pun dia. Apa lagi nak dicakapkan?"

Mulutnya memuncung ke arah kawanan orang di hadapan. Orang yang aku tak kenal.

"Orang dah mati. Tak boleh nak lawan apa yang deme cakapkan. Kalau dengan yang hidup tak boleh bercakap belakang-belakang. Apa lagi dengan yang dah mati?"

Aku sekadar diam. Hati membenarkan kata-katanya.

Begitulah tokki. Tua. Kedut kulitnya menampakkan berapa lama dia sudah bernyawa di dunia. Matanya masih cerah. Menyebabkan dia rajin membelek-belek kitab yang jadi teman paling akrab dalam hidupnya selepas tokwan meninggal.

"Bila orang dah mati. Kita doakan semoga Allah mengampuni dia, dan merahmati hidup dia. Bukan buka aibnya. Bukan cakap-cakap tak elok pasalnya."

Suara tokki mendatar. Marah barangkali.

Aku juga terdengar mengenai cakap-cakap orang mengenai mayyit. Sedari waktu dimandikan, sehinggalah dikafankan, sehinggalah ditanam.

Pelik benar manusia. Suka benar bercakap buruk-buruk mengenai orang yang sudah mati.

Tokki adalah orang yang terpelajar. Dari kecil merantau ke luar. Pulang hanya bila sudah dewasa dan matang. Balik sahaja, ibu bapanya mengaturkan pernikahan dengan tokwan. Anak ulama dari kampung seberang. Tokki sekadar menerima. Baka baik-baik mengaji agama. Masakan dia menolak.

Banyak tempat tokki pergi menadah kitab. Dari satu tanah, ke tanah yang lain. Dari satu tempat persinggahan ke satu tempat yang lain.

Umur 20, dia merantau lagi. Kali ini ke Tanah Haram. Tokki banyak bercerita pengalamannya di sana. Pengalaman dengan masyaikhnya di sana.

Tokki lah tempat rujuk aku. Tempat aku ajukan permasalahan hidup. Tempat aku belajar.

----------------------------

Tapi itu cerita 4 tahun yang sudah. Tika aku masih muda. Sekarang tokki sudah tiada. Pergi jauh meninggalkan kita.

Posted by Posted by Ariff Arifin at 5:40 AM
Categories: Labels:

 

0 comments:

 
>