Saturday, July 11, 2009


*Usah persoalkan tajuknya*

Apabila seorang teman mengadukan perihal dakwah yang dilakukannya tidak mendapat sambutan rakan-rakan yang memangku pendirian yang sama. Ada rasa terkilan.

Mehnah dalam dakwah akan sentiasa berlaku. Anda berteman, atau keseorangan. Akan ada ujian yang datang.

Dalam Islam tiada paksaan. Jika orang memilih untuk meminggirkan diri mereka sendiri daripada ruang yang dimuliakan oleh Islam, maka tiada keperluan untuk menyuruh-nyuruh orang mengikuti kita.

Menyoroti usaha dakwah yang dilakukan oleh Rasulullah. Dapat kita ketahui secara umum bahawa, semua sahabat, menerima agama yang mulia ini tanpa perlu disuruh. Kerana apa?

Wujudnya kesedaran dalam diri mereka untuk memangku tanggungjawab agama yang mulia ini. Mereka bukan jenis cakap berdegar-degar. Mereka jenis buat kerja. Tidak ada orang perlu suruh paksa. Tapi mereka yang pertama-tama menawarkan diri untuk satu-satu perkara.

Ini tidak lain dan tidak bukan, satu akibat yang datang dari aqidah yang sihat.

Apabila teman saya terbabit meluahkan rasa terkilan kerana tiada siapa mahu memberikan kerjasama. Walhal yang terbabit adalah rakan-rakannya sendiri. Tidak ada orang yang mahu memberikan kerjasama kepadanya, walaupun dia secara dasarnya diberikan tanggungjawab untuk memimpin.

Saya tidak ingin bercakap mengenai tuntutan dakwah dan sebagainya. Kerana saya tahu ramai di luar sana yang lebih jelas daripada saya mengenai apa hakikat dakwah, dan apa yang dimaksudkan dengan dakwah. Ramai di luar sana juga lebih arif daripada saya akan organisasi dan sebagainya. Usrah-usrah haraki yang anda semua sertai menyebabkan anda lebih jelas mengenai kepentingan dakwah dan sebagainya.

Saya ingin menyentuh pada skop yang lebih ringkas. Namun anda semua lupakan. Kerap lupakan.

Iaitu hak seorang Muslim ke atas seorang Muslim yang lain. Dalam Islam, banyak kali disebut oleh baginda Rasul SAW untuk memenuhi hak seorang Muslim. Dan sebagaimana yang hadir pada satu hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim menyatakan mengenai hakikat bahawa Allah akan membantu seorang Muslim yang membantu saudaranya.

"Barang siapa yang melepaskan dari seorang mukmin satu kesusahan, Allah pasti akan melepaskan darinya satu kesusahan pada hari kiamat. Barang siapa yang menjadikan urusan orang lain mudah, pasti Allah akan memudahkannya di dunia dan di akhirat. Barang siapa yang menutup aib seorang muslim, pasti Allah akan menutupi aibnya di dunia dan di akhirat. Allah sentiasa menolong hamba-Nya selama mana hamba-Nya itu suka menolong saudaranya. Barang siapa menempuh suatu jalan untuk mencari ilmu, Allah akan mempermudahkan baginya jalan ke syurga. Apabila berkumpul suatu kaum di salah satu masjid untuk membaca al-Quran secara berganti-gantian dan mempelajarinya, nescaya mereka akan diliputi sakinah (ketenangan), diliputi rahmat, dan dinaungi malaikat, dan Allah menyebut nama-nama mereka di hadapan makhluk-makhluk lain di sisi-Nya. Barangsiapa yang lambat amalannya, maka tidak akan dipercepatkan kenaikan darjatnya"

Maka, sewajarnya kita sebagai penuntut ilmu menghayati isi hadith ini yang mengandungi segala macam nasihat yang kalau diperhati, terkena batang hidung sendiri.

Sedih melihat rakan-rakan mengalami susah payah seolah-olah berada di ceruk dunia tiada yang hendak membantu. Ke mana pergi rasa kesedaran? Kita duduk di Malaysia bumi Allah yang bertuah serta ada ummat yang diberikan hidayah. Bukan Siberia. Bukan hendak bercakap merapu. Tapi ada perkara yang boleh diambil pengajaran dari Jemaah Tabligh. Belum apa-apa dah angkat tangan. Amir belum sebut "Siapa hendak keluar 40 hari?" Sudah ada yang angkat tangan bagi azam. (Walaupun bagi azam..) Tapi sekurang-kurangnya mereka tidak ada rasa malu berkhidmat untuk agama. Kita? Belum apa-apa sudah cari lubang untuk sembunyi tangan.

Macam mana hendak bercakap pasal betulkan aqidah ummat wahai teman-teman? Bukan suruh pergi buat dakwah macam tabligh. Tapi tiru semangat mereka, dan pakai akal anda.

Wallahua'lam.

Posted by Posted by Ariff Arifin at 12:47 PM
Categories: Labels:

 

0 comments:

 
>