Munafik
Aku mengajaknya berdiri di satu tempat yang lebih selesa. Kaki aku rasa jaki kerana berdiri terlalu lama. Rasa lenguh menjalar ke setiap genap urat yang berada dalam tubuh.
"Kan saya sudah kata. Semua lelaki semuanya gatal dan suka pura-pura. Orang macam awak pun sama. Baru terlanggar bahu sudah mahu ambil kesempatan."
Aku laju-laju memintas yang aku tak pernah ada idea untuk ambil kesempatan ke atasnya. Selain tertarik dengan kenyataan berani matinya yang kata dia sudah bukan Islam. Sudah bukan bertuhankan Allah. Aku tidak ada apa yang mahu aku cari dari dirinya.
Dia masih mencebik. Dan aku suka lihat wajahnya demikian. Kali terakhir aku lihat wajah yang begitu mempesonakan beberapa tahun yang sudah. Masa aku masih di universiti. Masa aku terperangkap dalam keseronokan neon-neon dunia yang bikin aku jadi leka.
Nama gadis itu aku sudah lupa. Aku jumpa sewaktu dalam sebuah kelab di Bristol. Kami berpesta sampai siang. Sampai rasa panas matahari menggigit kulit hitam aku.
Aku memang leka waktu itu. Segala benda aku lupa. Hendak bertanya khabar emak dan bapak di rumah buruk di kampung juga aku tidak ingat. Syurga dunia itu buat aku rasa hati ini macam hendak terperosok ke dalam. Sebabnya aku malu hendak mengingat semula cerita itu. Rasa macam hendak mati sebab malu yang teramat sangat. Sebabnya aku malu kepada tuhan.
Di waktu itu aku boleh lupa agama yang aku janji hendak dan pasti aku genggam. Dan janji itu aku buat pada emak dan bapak. Akhirnya aku hidup dalam keadaan munafik di bumi orang.
Nafsu
Aku termenung panjang semasa mengajaknya. Aku memandangnya. Dia memandangku. Dan orang di sekeliling memandang kami. Aku jadi naik malu. Ada bisik-bisik mulut busuk yang lalu di sebelah aku dan dia marah-marah sebab mengganggu jalan.
Sebab itu aku menggesanya ikut sahaja bersama ke tempat berteduh di sebelah pustaka awam itu. Aku akan berdiri di situ mendengar ceritanya. Tak perlu duduk dekat rapat.
Aku tahu dia pandang serong kepada diriku, atau orang-orang yang macam aku. Tapi, masakan aku sanggup berdiri lagi 2 jam di situ.
Dia kata lagi, yang orang lelaki. Pakai kopiah dan berjanggut itu lagi tinggi nafsunya. "Mungkin sebab kopiah dan janggut yang panjang itu dah jadi macam pasung nafsu. Tapi bila menggila.."
Sebab itu katanya dia tak mahu dekat dengan aku. Bukanlah aku mahu duduk dekat dengannya. Aku tahu apa yang bakal berada di antara kami kalau duduk berdua-dua.
Sebab itu aku sanggup berdiri. Dia duduk jauh-jauh. Aku akan dengar dia bercakap. Aku akan menjerit kalau dia tak dengar. Asal suasananya lebih selesa. Tapi tak sanggup aku duduk berbumbung matahari. Sampai menggelegak ubun-ubun kepala.
Aku dan dia pergi ke tempat teduh berbumbung. Aku dudk di sebelah sini. Dia duduk di sebelah sana. Orang lalu lalang di antara kami. Setan juga mungkin.
Watak penting dalam plot kemungkaran itu ada di mana-mana.
Syaitan
Gadis itu bercerita yang dia diperkosa oleh teman lelakinya tak mengira waktu dan ketika. Siapa sangka, orang yang warak, disayangi para asatizah di fakulti tempat mereka belajar. Rupanya menggonggong nafsu si setan. Tanduknya mungkin lebih panjang dari setan.
Kata dia, mereka kenal-kenal sewaktu program orientasi. Dia pelajar baru, dan lelaki jalang itu lah yang menyambutnya masuk. Waktu itu semua rakan-rakannya tergila-gilakan ustaz muda itu. Orangnya segak. Janggut rapi itu jadi penambah seri wajah.
Tapi tak ada orang sangka yang dia sebenarnya sekadar lelaki gatal yang cuma tunggu masa menelan, meratah mangsa.
Aku tanya kepada dia. Kenapa dia menerima dan boleh jatuh cinta.
Dia khabarkan, yang dia tidak tertarik langsung pada lelaki hidung belang itu. Sekurang-kurangnya, tidak pada waktu orientasi itu berjalan. Bapanya sudah pesankan yang dia jangan pandai-pandai hendak menggatal ketika masih belajar. Dan ibunya sudah beri wasiat agar jangan belajar bercinta kalau baru hendak belajar menulis alif, ba dan ta.
Tapi katanya dia tewas. Dia tewas kerana pada sudut pandangnya, lelaki tersebut terlalu mulia, terlalu agung. Kepandaiannya memikat hati si gadis. Dan rendah hati dan sifatnya menyebabkan dia tewas jatuh cinta.
Tapi rupanya lelaki itu pandai ambil kesempatan. Sifatnya yang konon baik-baik cumalah pura-pura.
Mereka mula dengan belajar. Belajar berdua. Mula-mula di tempat awam. Tempat ramai orang boleh nampak. Kemudian mereka cari kelas-kelas kosong yang banyak sekitar fakulti. Mahukan privasi kata si lelaki.
Gadis itu kata, dia tidak setuju. Takutkan tuhan. Tapi si lelaki pandai memujuk. Diberikan macam-macam alasan sampai tak tertolak oleh si gadis.
Mula-mula ikhlas mengajar. Kemudian pen ke mana, kitab ke mana. Tangan lelaki sudah pandai meraba. Sekejap di pinggang, sekejap kemudian di dada. Si gadis diam. Mula-mula katanya dia benci, lama kelamaan dia jadi seolah seronok. Punah dengan tiupan setan.
Akhirnya dia rebah atas ranjang maksiat. Jadinya dia lebih hina daripada pelacur jalanan. Rebah di atas meja kelas. Pelacur sekurang-kurangnya mendapat juga katil lusuh. Tapi dia dikerjakan atas lantai meja.
Aku cuma mencebik dalam hati. Melihat wajah gadis itu menangis. Dia menangis dengan hatinya.
Gila
Kata gadis itu, dia sudah hampir jadi gila kalau mengenang nasib yang menimpa dirinya.
Katanya, dia ditipu agama.
Aku berkali-kali menafikan. Dia bukan ditipu agama. Agama tidak pernah menipu. Tapi teman lelakinya yang gila dan hidung belang itu yang menjadi punca.
Dia mencebikkan bibir.
Katanya, mana aku tahu. Aku bukan pernah alami keadaan macamnya.
Kalau diperkosa lelaki. Ya. Aku memang tidak pernah.
Tapi kalau dia menyebut keadaannya yang dia kata sudah tinggalkan agama, dan tinggalkan tuhan. Tinggalkan pegangan. Mana mungkin orang yang pernah berada dalam satu keadaan yang agama dan tuhan macam mainan ini tidak faham. Mana mungkin. Aku orang yang pernah sembahyang di wat siam kerana kagumkan falsafah dalam agama Buddha, orang yang pernah sembahyang di gereja kerana kagumkan Mother Theresa, orang yang sama juga pernah menyembah Lao Tze dan fahamannya. Mana mungkin aku tak faham. Di saat aku jumpa kembali semula Islam, itu yang paling indah. Mana mungkin aku tak faham.
Sebab itu aku cuma diam bila dia cebikkan bibirnya. Kerana aku faham. Aku sangat faham.
Kerana aku pernah juga gila macam dia.
Lemah
Aku khabarkan kepada dia. Yang sifat manusia itu lemah. Mudah tunduk.
Dia sekarang sudah tunduk kepada putus asa, pada kegilaan yang bermaharajalela dalam hidupnya.
Dia cuma diam. Aku boleh nampak matanya ada air yang berlinangan. Orang lalu lalang memandang. Mulut mereka terkumat-kamit. Ada seorang yang bercakap terlalu kuat sampai aku boleh dengar. Katanya aku jahat sebab bergaduh di khalayak awam, di tempat orang lalu lalang, dan biarkan teman wanita aku menangis macam budak.
Aku cuma senyum.
Dia bertanya kenapa aku senyum. Kisahnya lucukah?
Aku menjawab yang aku senyum dengar keluhan orang ramai pasal dirinya. Dia juga senyum.
Aku kata yang sudah menjadi adat manusia bila terlalu lemah akan dikuasai apa sahaja. Sudah menjadi lumrah, bilamana manusia duduk dalam satu keadaan yang menekan, dia akan mula mencari tempat untuk disalahkan. Cuma dalam kesnya ini, sangat berat. Dia salahkan tuhan padahal dia tidak ada hak berbuat demikian.
Gadis itu menyeka air mata dengan jari runcingnya.
Dia kata yang dia salahkan tuhan bersebab.
Aku katakan kembali, bahawa bersebab atau tidak bersebab, sebab itu tidak wujud sebenarnya. Sebab yang hadir dalam hatinya, dalam sangkaannya cumalah perbuatan hasil permainan setan.
Sudah zaman berzaman si setan datang menyesatkan anak Adam. Aku katakan kepada si gadis, dia bukan mangsa terbaru. Mungkin saja si setan terkikih ketawa melihat seorang anak gadis yang baik sudah jadi separuh gila dan tinggalkan agama sebab berjaya disesatkan.
Dan aku katakan lagi, bahawa temannya itu juga si setan. Sebab dialah dalang dalam hal ini. Setan dalam menyesatkan anak Adam, manakan mungkin bertopeng yang buruk-buruk. Melainkan ia datang dalam keadaan baik-baik semuanya. Sebab itu namanya talbis. Dan temannya juga begitu sama sifatnya.
Hawa
Aku katakan yang aku lupa tanyakan namanya. Dia kata, namanya Hawa. Aku senyum. Aku kata indah. Indah namanya. Macam nama nenek moyangnya juga. Wanita pertama yang hidup senang dan susah bersama Adam. Lahir di syurga sebelum dicampak ke dunia sebab memakan buah dari pohon terlarang.
Aku katakan lagi, yang kesilapan nenek moyang kita dahulu kerana diperdaya setan usah lah diulang semula. Cukuplah kita ambil iktibar. Dan contohilah mereka yang berubah.
Aku tanyakan. Tidak mahukah dia berubah.
Katanya, dia sudah terlajak jauh. Jauh benar sehingga tergelincir dari agama.
Aku katakan. Sebanyak mana dia gelincir. Pasti ada jalan untuk dia kembali semiula ke atas jalannya yang asal. Cuma sekarang, terpulang padanya samada mahu kembali atau tidak. Sebab Islam sudah sediakan jalan. Dengan taubat.
Aku kata dia sudah ada asas agama. Mudah untuk kembali.
Taubat
Dia khabarkan dia jatuh cinta dengan aku. Aku diam. Aku senyum. Padahal dalam hati juga melurut rasa.
Aku kata yang aku juga seorang pendosa. Sedang meniti jalan-jalan taubat. Sedang mencari satu rahmat tuhan di hujung jalan.
Aku kata aku malu kepada tuhan kerana aku manusia yang banyak buat dosa. Dan lebih teruk, aku tidak segan silu berbuat dosa. Sebab itu sekarang aku malu pada tuhan.
Sebab perumpamaan diri aku, macam orang hilang ingatan yang bertelanjang bulat di khalayak umum. Sebaik saja sedar dari tidak warasnya. Dia sudah saja berbogel. Apakah tidak patut untuk dia rasa malu? Aku pun begitu.
Aku kata. Aku menunggunya kembali di sini. Menunggunya berubah. Aku tak akan pernah rasa jemu duduk menunggu dia di sini. Di antara orang ramai lalu lalang ini aku ingin sekali berbual, mendengar perubahannya. Mendengar akan perkenalannya dengan tuhannya semula. Dengan agama semula.
Aku berpaling untuk pergi. Dia tanya apa namaku.
Aku jawab pendek dengan senyuman.
"Nama aku Adam. Sedang menunggu khabar taubat dan taat dari Hawa."
Wednesday, August 12, 2009
Posted by Posted by
Ariff Arifin
at
9:15 AM
Categories:
Labels:
cuma kata-kata
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
5 comments:
Salam
itu bukan diperkosa namanya..sengaja minta diperkosa.
ish! budak-budak ni!ehhe
wassalam wrm wbt.
aduh ustazah.
siri ke-3 pasti saya akan cuba masukkan watak ustazah. boleh ya? :p
Jangan lah...
salam.
semakin dasat menulis nampaknya. haha.
Aku tu merujuk sape? ciptaan?
aku tu.. err.. entah lah. tapi bukan AKU la.. haha...
cerita ni metafora je. cerita sebenar di sebalik perkataan tu.. bukan pada jalannya.
Post a Comment