Monday, August 10, 2009


Aku

Orang biasa. Orang kampung. Sudah banyak tempat dijarah. Sudah banyak karenah diratah. Aku bukan orang hebat-hebat. Bukan orang baik-baik.

Orang degil. Zaman kecil-kecil. Ibu aku selalu menarik-narik ekor rambutku. Ekor rambut persis ekor kura-kura itu biasan orang degil dan bengkeng katanya. Macam bapakku. Aku diam. Tapi ternyata itu benar.

Sedari kecil malas belajar. Tapi takdir tuhan. Aku masih lulus pelajaran dengan cemerlang walaupun tak betah menelaah pelajaran. Aku lebih suka duduk mengalas masa di sisi belukar getah. Bermain dengan semut kerengga. Lebih rela bertembung dengan ular tedung sela dari berselisih dengan guru.

Aku masih ingat, bapak lah yang mengheret aku ke sekolah. Laju-laju tangan bapak memukul punggungku. Aku salahkan bapak dan kegarangannya. Tapi lewat besar, aku sedar. Tangan yang memukul itulah yang sebenarnya membelaiku. Ajar aku jadi orang.

Ramai terkejut bila aku lulus belajar dengan cemerlang. Usah kata guru. Emak aku sendiri terkejut lihat sijil belajar menengah aku. Katanya, mungkin aku malas, tapi otakku tak benak. Aku diam. Dalam diam aku terfikir, mungkin doa emak dan bapak yang bawa aku cemerlang begini.

Masuk ke universiti aku berkenalan dengan banyak benda. Benda yang aku tak mahu sebut. Aku malu. Sebab di situ aku mula belajar jadi orang hitam. Jadi orang gelap dalam sinaran lampu neon warna kuning, merah, hijau dan biru.

Dan di situ jugalah aku jumpa sinar cahaya warna putih hapus kegelapan hitam.


Dia

Dia seorang gadis naif. Berbibir merah. Dengan pipi berona kemerahan.

Dia katakan dia sudah lama tinggalkan Islam. Aku masa itu terlanggar bahunya. Di perpustakaan. Jatuh bertaburan buku. Buku aku, bukan dia. Aku ucapkan terima kasih dan mendoakan agar Allah membalasnya kebaikan.

Dia khabarkan dia sudah lama tinggalkan Islam. Tinggalkan tuhan.

Aku terpana. Dan aku bertanya. Siapa sangka. Aku berdiri 2 jam di tempat yang sama mendengar ceritanya.

Aku terpana kerana aku pernah alami keadaan sepertinya. Keadaan sebelum temui cahaya.


Tuhan

Aku tanya lembut, kenapa dia kata begitu. Dia menjawab. Dia sudah putus asa. Katanya kerana bekas temannya.

Aku diam. Aku pernah alami keadaan macam dia. Sewaktu zaman percayakan teman. Sewaktu zaman hanyut dengan kehidupan.

Sebab percayakan teman. Aku sanggup lepaskan agama macam aku lepaskan pakaian dari batang tubuh aku. Mandi bunga di Wat Siam. Terbongkok-bongkok di tokong cina. Meniarap di kuil hindu. Ada satu tahap. Sampai sanggup menyembah manusia. Menjilat tapak kaki orang keramat kata mereka. Hina sungguh bila diingat waktu sebegitu.

Zaman itu, agama dan tuhan semacam lampin pakai buang. Pakai jenama apa pun tak mengapa. Asal ikut rasa selesa. Rasa tak menarik, kurang seronok. Aku tukar yang lain.

Bertahun-tahun aku menangis mengenang keadaan itu. Hodoh dan hina sungguh rasa diri.

Aku bukan macam orang lain. Ada orang tersedar dari lamunan setelah dengar laungan azan. Setelah dengar sahutan Quran.

Aku sedar bila emak menangis mendapat tahu keadaan aku dari anak kawan lamanya. Kawan satu universiti aku di seberang laut.

Emak menangis meraung-raung bila aku jejakkan kaki ke tangga rumah. Katanya dia tak sangka. Budak kurus comot yang malas ke sekolah, tapi tak pernah tinggal kelas mengaji Quran di rumah Tok Siah, bila sudah besar jadi budak yang tinggalkan agama, tinggalkan tuhan.

Aku sewaktu itu diam. Aku memang lebih banyak diam. Aku memang selalunya diam.

Tapi hari itu, aku diam sebab menangis dalam hati.

Tak sanggup melihat emak menangis sampai terjelopok di tangga rumah dan disaksikan oleh jiran-jiran yang sama-sama mengalirkan air mata.

Saat itulah aku tersedar.

Balik ke universiti, aku banyak cari jalan bersihkan jiwa. Aku pilih jalan kesufian. Tapi cara itu tak menepati jiwa. Aku pernah terhangguk-hangguk menari masa berzikir sebelum seorang mat kopiah di tempat aku menyindir aku pedas.

"Hang pi mengadap tuhan, buat ibadat, zikir terhangguk-hangguk. Hang head-bang lagu ka, hang nak dekat dengan tuhan?"

Pendek. Tapi aku sedar.

Akhirnya aku jumpa jalan tuhan. Jalan yang nabi buat. Jalan sahabat buat. Jalan ulama zaman berzaman buat.

Dilema

Aku berdiri lama di situ, mendengar ceritanya. Katanya, dia sudah tinggalkan Islam bila teman lelakinya dahulu, yang dia letakkan kepercayaan sepenuh jiwa dan raga. Yang dia sangka dan harap mampu mendidiknya, akhirnya jadi orang yang meratah batang tubuhnya setiap kali dia punya kesempatan.

Dia tak menyangka, orang yang katanya mahu mengajarinya agama, mengajaknya ke kelas itu dan ini, meratah tubuhnya bila dia ada peluang.

Mula-mula dengan meraba. Kemudian memeluk. Kemudian yang gitu-gitu.

Apa yang mengikat mereka cumalah janji, serta kepercayaan yan diletakkan sepenuhnya kepada temannya itu. Orang yang pada pandangannya baik, dan beriman, serta memiliki ciri-ciri lelaki yang soleh serta taat pada tuhan.

Setiap kali tubuhnya diratah, katanya, temannya selalu saja mencari jalan menghalalkan caranya. Di waktu senggang, temannya banyak memberikan nasihat-nasihat, potongan Quran dan hadith sebagai pedoman. Tapi waktu lain, dialah yang merebahkan tubuh gadis atas ranjang maksiat.

Dakwanya, dia berduka.

Dan dukanya itulah yang akhirnya jadi nanah. Pertama, dia jadi benci kepada lelaki yang nampak macam baik-baik. Kedua, sebab temannya itu terlalu banyak mempergunakan agama, si gadis jadi benci kepada agama. Katanya, orang yang gunakan ayat tuhan, tapi perangainya macam si setan. Dan dia berkata dia berputus harap, sebab bila mengadu kepada tuhan, tiada dikabulkan.

Aku cuma menyumpah dalam hati. Menyumpah betapa durjananya sang lelaki hidung belang bertopeng agama.

Aku tanya lagi, kenapa dia masih bertudung. Tudung yang bukan biasa-biasa. Tudung labuh hingga ke lutut. Jubah besar, sehingga aku tidak tahu dia kurus atau gemuk kalau tidak kerana jari runcingnya.

Jawabnya mudah. Dia sedari kecil sekolahnya ada afiliasi agama. Ayahnya imam masjid besar di tanah tumpah darah. Emaknya guru agama sekolah. Abangnya semua belajar lulus agama. Kakaknya semua menikah dengan orang mengaji agama. Kalau dia tak bertudung, berpakain ranggi seksi. Jawabnya, dia pasti mati kena bunuh.

"Entah-entah kamu pun sama.. Lelaki berkopiah berjanggut macam kamu ini ramai pura-pura dan munafik."

Cinta

Aku rasa jatuh cinta disebabkan tiada rasa malu berterus terang. Masakan tidak. 2 jam aku berdiri tanpa letih lenguh.

Cinta....

Bukan cinta kepadanya. Tapi cinta kepada tuhan.

Sebabnya, keberaniaan dia, cerita dia, menyebabkan perasaan menemui cahaya lama dahulu datang semula. Cinta dan rasa rindu kepada tuhan bertamu semula dalam hati aku yang sudah keras akibat keduniaan. Dari saat itu, aku mula menilik-nilik diri.

Banyak lagi yang perlu aku selam dan rasa.

Posted by Posted by Ariff Arifin at 6:28 AM
Categories: Labels:

 

8 comments:

ajim said...

mak aikh, dasat la ape yg ko tulis nie.. byk btul meaning.. try anta kat majalah i la.. haha..

cuma ejaan ade silap sket la.. pakain --> pakaian..
haha.

Ariff Arifin said...

ha ha ha...

tak nak ah bermajalah. tak reti.. ko lain ah.. ha ha~

ada silap ke? nanti betulkan. hu hu.

Ariff Arifin said...

ajim..

what say you..

perlu sambung atau tidak cerita ni? ha ha ha~

ajim said...

'Banyak lagi yang perlu aku selam dan rasa.'

ayat last ko nie menunjukkan ko perlu sambung.. haha.

Sakinah Saptu said...

salam Ariff..ni cerita benar ke..cerita reka-reka? Musykil betul!

Ariff Arifin said...

cerita reka-reka yang ada terbias dari sisi benar hidup sebahagian manusia.

namun yang pasti. AKU itu bukan saya.. :p

KIAMBANG said...

**kagum**

Ariff Arifin said...

kagumkan apa cik kiambang?

 
>