Tuesday, September 29, 2009


Tidak perlu untuk jadi orang yang hebat-hebat atau pun punya nama yang gah untuk beri nasihat.

Kerana nilaian pada nasihat itu adalah pada apa yang diberi, bukan siapa yang memberi.

Nilaiannya adalah pada ilmu yang boleh dicerna para pendengar. Dan pada diri sendiri. Kerana pada ilmu itulah yang akan menyebabkan sesebuah nasihat menjadi berharga.

Namun jangan salah faham pula, bahawa boleh jadi jerk atau moron dan kemudian memberi-beri nasihat. Kerana jika itu keadaannya, nilaian pada nasihat itu boleh saja jadi sebaliknya.

*****

Sudah lumrah orang akan suka benda yang cantik-cantik.

Tidak kira dia agama apa, bangsa apa, atau bagaimana keadaan hidupnya. Jika dia ditanya, pasti dia akan kata bahawa dia mahukan satu-satu benda yang cantik.

Dan jarang sekali kita jumpa orang yang hidupnya mahu dan suka pada benda yang hodoh dan buruk. Kerana walaupun benda itu hodoh pada mata kita, mungkin cantik pada dirinya.

Maka, kita yang beragama Islam ini patut ada rasa syukur, kerana pada agama kita menyuruh kita mencari benda yang cantik dan elok-elok. Dan mungkin saja kita diganjari pahala disebabkan itu.

إن الله جميل يحب الجمال

"Sesungguhnya Allah itu cantik dan suka akan kecantikan." (Muslim)

*****

Bukan tangan-tangan manusia yang memberikan hidayah kepada orang yang dimahukannya. Tapi Allah yang memberikan hidayah kepada siapa yang Dia kehendaki.

Seorang yang saya anggap guru, serta sahabat sering mengingatkan saya bahawa;

إنك لا تهدي من أحببت ولكن الله يهدي من يشاء

"Sesungguhnya bukanlah engkau yang memberikan petunjuk kepada orang yang kasihi, akan tetapi Allah yang memberikan petunjuk kepada siapa yang Dia kehendaki." (al-Qasas:56)

Maka berpada-padalah bila kecewa dalam berdakwah. Kerana bukan semua yang kita hajati, akan kita dapat. Melainkan jika Allah berkehendakkan sesuatu itu terjadi.

Posted by Posted by Ariff Arifin at 10:42 PM
Categories: Labels:

1 comments  

Monday, September 28, 2009


Kartika sudah memilih untuk bertudung.

Mungkin ada orang akan pertikaikan keputusannya bertudung.

Manusia memang suka pertikaikan orang. Manusia memang suka menyalahkan manusia yang lain. Maka tidak perlu hairan kalau ada orang menuduhnya macam-macam. Sebab sifat dan sikap manusia mutakhir ini memang pelik.

Cuma tanyakan dalam diri.

"Hangpa semua boleh korek dada dia? Boleh tahu isi hatinya ke?"

Maka, wajarlah kita bersangka baik padanya.

Sebab manusia zaman ini suka memilih untuk berburuk sangka dan menuduh orang lain yang berbuat demikian.

*****

Yang dah pakai tudung, biarlah dia pakai. Bubarkanlah rasa buruk sangka dan suka mencebik kepada usaha orang lain yang hendak berubah.

Yang tak pakai tudung (termasuk juga orang yang pakai tudung ala-ala kadar), bila lagi hendak berubah?

Tanya iman. Pandang agama.

*****

Sesetengah manusia suka memilih sikap provokasi. Mungkin kerana sesetengah manusia tersebut rasa bahawa dirinya lebih bagus dan terbaik. Sebab itu mereka lebih suka memperlekehkan orang.

Dan sudah jadi adat buat orang ini, bila dimarahi, mereka akan pusing cerita dan memburuk-burukkan nama orang. Kononnya, sebab dia bagus benar. Dan kemudian memilih nama agama untuk dibuat perisai setelah mengaibkan orang.

Sikap melecehkan orang ini tak lain tak bukan adalah amalan orang-orang jahil. Sebab orang yang berakal (dan menggunakannya sebaik mungkin) pasti tidak akan sebodoh itu. Dan orang yang istiqamah di atas jalan agama mana mungkin nak mengaibkan orang lain.

Ahh.. Apalah sangat..

Jadi usahlah kita memperlihatkan kejahilan kita dengan memperolokkan agama, dan orang ramai kononnya bahawa kita ini orang yang baik-baik akhlaqnya walhal boleh saja jadi busuk dan buruk. Wallahu al-Musta'an.

Posted by Posted by Ariff Arifin at 9:06 AM
Categories: Labels:

0 comments  

Friday, September 25, 2009


Dalam Facebook ada bermacam-macam jenis kuiz. Teramat banyak, sehingga mungkin, ada orang boleh muntah kerana menjawab kuiz-kuiz tersebut. Muntah kerana terlalu banyak yang perlu dijawab dan diselesaikan. Atau muntah kerana geli dengan bentuk-bentuk soalannya.

Terlalu banyak, dan bermacam jenis. Daripada kuiz mengenai fantasi seks seseorang, sehinggalah kuiz berkenaan aqidah.

"Kah.. Kah.. Kah.."

Tak sangka kuiz pasal aqidah pun boleh ada dalam FB. Dan lebih melucukan lagi, bagaimana benda semacam ini boleh terjadi. Dan lebih lucu lagi, orang yang mencipta kuiz tersebut seolah-olah faham (dan sangat alim) mengenai siapa Ahlu al-Sunnah, dan siapa yang tidak.

Dan lebih melucukan lagi, apabila dijawab salah, maka keluarlah jawapan; ANDA JAHIL TENTANG SUNNAH bla.. bla.. bla.. bukakan minda anda.. nanti anda terikut ajaran sesat.. bla.. dengan buka web berikut..bla.. bla..!

Wah! Ini sangat mengejutkan. Kalau jawab salah, maka orang itu jahil lah? Apa yang buat kuiz itu rasa diri sudah terlalu pandai dan boleh beza siapa yang jahil, siapa yang tidak.

Apa yang menghairankan, soalan yang ditanya tiada kaitan sangat dengan persoalan aqidah dan sebagainya. Sebaliknya hanya persoalan fiqh dan soalan enteng-enteng yang belum tentu cukup kuat untuk dijadikan asas untuk menentukan samada orang itu Ahlu al-Sunnah atau tidak, terer pasal Sunnah, mahupun jahil murokkab.

Oh. Aku sudah jawab kuiz tersebut. Dan sebab jawapan aku banyak salah, maka aku dapat jawapan yang semacam di atas. Katanya aku jahil.

Jadi di mana nilai dakwah kalau-kalau yang menjawab itu dapat jawapan seperti di atas. Walhal, mungkin pereka kuiz tersebut berniat baik untuk menyebarkan persoalan-persoalan berkaitan al-Sunnah. Tapi kalau dijawab salah, dan akhirnya mendapat output yang sebegitu, maka orang pun akan berpaling dari untuk mengenali sesuatu yang benar dan haq.

Dan di mana beza kuiz tersebut dengan kuiz-kuiz picisan lain?

Sedangkan Salaf tidak menghukum sebegitu. Jadi di mana kedudukan kita sebagai pengikut mereka?

Yang pelik-pelik, banyak atas dunia ni....

*****

Ada orang kata FB itu proxy Yahudi..

"Kah.. Kah.. Kah.."

Ohh.. Aku bukan ketawakan teori itu. Aku ketawakan orang yang mendakwanya.

Sebab yang kata FB itu proxy Yahudi pun asyik mengadap FB.

"Kah.. Kah.. Kah.."

*****

Kawan aku dah jadi hensem. Aku tumpang gembira.

*****

Sedang menunggu jemputan-jemputan (yang mungkin banyak) ke rumah terbuka di sekitar Gombak..

Jadi perlu dirangka, bagaimana hendak menghasilkan puasa Syawal sebaik mungkin dan pada masa yang sama menyelesaikan jemputan tersebut.

Posted by Posted by Ariff Arifin at 9:10 AM
Categories: Labels:

6 comments  

Saturday, September 19, 2009




Eid Mubarak buat penyinggah di Tinta Kata. Terima kasih kerana sudi melawat.

Hidupkan al-Sunnah. Hapuskan al-Bida'ah.
Kerana hidayah-Nya hanya pada orang yang menjulang agama.

Posted by Posted by Ariff Arifin at 7:42 PM
Categories: Labels:

0 comments  

Friday, September 18, 2009


عن أبي هريرة أن رسول الله صلى الله عليه و سلم قال: كل أمتي يدخلون الجنة إلا من أبى. قالوا يا رسول الله ومن يأبى ؟ قال: من أطاعني دخل الجنة ومن عصاني فقد أبى

Dari Abu Hurairah; bahawa Rasul Allah SAW bersabda: "Kesemua ummatku akan masuk ke dalam syurga, melainkan mereka yang enggan." Baginda ditanya: Siapakah yang enggan wahai Rasul Allah? Baginda menjawab; "Mereka yang mentaatiku masuk ke dalam syurga, dan mereka yang menyelisihiku, merekalah orang yang enggan."

Maka, adakah kita hendak termasuk di dalam kalangan mereka yang enggan?

*****

Ramadhan adalah bulan hidayah, kerna padanya al-Quran diturunkan. Tanpa al-Quran yang menjadi penyuluh jalan. Mana mungkin kita hidup seperti sekarang.

Ramadhan adalah bulan kenikmatan, yang dianugerahkan oleh Tuhan. Bulan padanya keberkatan. Bulan padanya manusia diberikan ganjaran. Bulan yang mana padanya malam yang lebih baik dari seribu bulan.

Bulan yang mana, mula melangkah pergi hari ini. Pada hari yang berbaki. Kita manfaatkannya agar tidak menjadi orang yang rugi. Kita gunakan setiap genap kesempatan agar mendapat ganjaran yang pasti.

*****

Kadang-kadang bila melalui sesebuah jalan, akan kita jumpa banyak dugaan. Kehidupan adalah seumpama jalan yang penuh dugaan, yang tidak dapat kita jangkakan. Dan Ramadhan pula adalah seumpama bahagian jalan tersebut yang dipenuhi dengan nikmat dan keseronokan bagi mereka yang punya iman. Di mana dipermudahkan padanya. Dan diberikan kesenangan bagi orang yang melaluinya.

Hanya berbaki sehari lagi Ramadhan. Maka marilah kita memetik buah-buah nikmat yang memenuhi jalan. Marilah kita mencari sebanyak mungkin keadaan yang baik untuk dijadikan bekal.

*****

Lailatul Qadr. Apakah sudah ada yang menemuinya? Apakah kita dapat mendakapnya?

Biarpun sebanyak mana manusia mengatakan mereka sudah menemui malam al-Qadr itu. Dalam sehari yang masih berbaki ini, malam yang ganjil ini. Marilah sama-sama kita mencarinya lagi. Kerana pada aku, aku tidak dapat pastikan samada aku sudah menemuinya atau belum. Namun padaku, aku akan tetap cuba menggagahkan diri mencarinya. Biar sakit, biar jerih.

Usahlah kita menjadi orang yang enggan di malam akhir ini. Usahlah. Usah...

Posted by Posted by Ariff Arifin at 3:18 AM
Categories: Labels:

0 comments  

Tuesday, September 15, 2009


Telinga mendengar, mata melihat.

Gunakan deria melihat sekeliling, melihat alam indah ciptaan Tuhan.

Ramai yang mengaku Islam, tapi terlupa menghayati kebesaran nikmat Tuhan melalui ciptaannya.

Kerana manusia boleh sahaja mati esok lusa. Maka tidak salah untuk kita melihat persekitaran, dan meletakkan dalam hati, agar kita, manusia, selalu terasa bahawa kita ini kerdil dan tidak layak untuk dibandingkan dengan apa-apa nikmat yang diberikanNya.

Bubuh dalam hati rasa insaf dan taat. Agar mudah untuk kita kembali kepada Tuhan Yang Esa.

*****

Dan gunakan kudrat dalam mengejar apa sahaja yang anda ketinggalan dalam hari-hari terakhir bersama Ramadhan.

Antara soalan yang kerap ditanyakan, sebagai peringatan, adalah adakah ini akan menjadi Ramadhan terakhir buat kita.. Adakah ia akan jadi yang paling akhir pada kita..

Namun berapa ramai terkesan..

Berapa ramai, yang menyambut Ramadhan waktu tahun yang sudah, hari ini pergi meninggalkan kita dengan jasad sudah bersemadi di dalam tanah yang Allah ciptakan?

Berapa ramai pula, yang hanya sempat melangkah sebelah kaki ke dalam Ramadhan, kemudian pergi buat selama-lamanya.

Kita sebagai manusia hanya mampu mengambil iktibar.

Kita sebagai insan, cuma mampu meneliti, dan memerhati, bahawa nyawa manusia itu adalah sesuatu yang amat.. Amat rapuh.

Dan ingatlah, bahawa sesuatu yang dimahukan oleh Allah, maka adalah mudah buatNya.

Mudah...

*****

Agama bukan didasarkan pada logik akal. Bukan didasarkan pada fikiran manusia.

Akan tetapi, agama itu preskripsinya adalah pada al-Quran dan al-Sunnah.

Agama itu adalah ubat. Penawar buat jiwa-jiwa gila.

Kerana tanpa agama. Orang tidak mampu mengharung kehidupan dengan sempurna.

Kerana itulah Islam merakamkan kisah Musa, seorang Rasul Allah, dan kisah baginda mencari Tuhan.

Jadi jagalah agama yang ada pada diri anda. Kerana anda bertuah kerana dimahukan Allah termasuk sebagai seorang Islam.

*****

Tukar persepsi dan cara melihat bagaimana kita sepatutnya hidup.

Kerana ramai orang bertanya bagaimana dia harus hidup. Walhal, sudah ditunjukkan oleh Tuhan satu manual terbaik akan menguruskan kehidupan.

Satu manual yang mampu menghasilkan taqwa dalam diri manusia.

اللَّهُمَّ إنِّي أَسألُكَ الهُدَى ، وَالتُّقَى ، وَالعَفَافَ ، وَالغِنَى

"Ya Allah, sesungguhnya aku bermohon kepadaMu akan petunjuk, ketaqwaan, menahan diri dari apa-apa yang tidak diperkenankan serta kekayaan hati." (Riwayat Muslim)

Posted by Posted by Ariff Arifin at 9:45 AM
Categories: Labels:

0 comments  

Monday, September 14, 2009


Janji Allah pada manusia mana mampu digalang ganti, mana boleh ditukar beri.

Maka, kita membaca ayat-ayat Allah, perhatikanlah janji-janjiNya. Janji akan ganjaran, dan janji akan azab yang mendatang.

Semoga dibukakan pintu keinsafan pada diri.

Kerana sesusungguhnya, kita manusia tidak mampu menongkah apa yang telah dimaktubkan oleh Allah pada kitabNya. Kita manusia tidak mampu melawan kalam Allah.

Kita hanyalah hambanya.. Sekadar HAMBA..

*****

Andaikata berlaku sesuatu masalah. Maka semua yang terlibat itu, secara tidak langsung, adalah bersalah.

Yang jadi pembeza, sebanyak mana seseorang itu jadi penyumbang. Mungkin ada yang banyak, mungkin ada yang sedikit.

Maka, ideanya, tidak mungkin satu pihak itu 100 persen bersalah, dan pihak satu lagi 100 persen tidak.

*****
Gara-gara hendak tunjuk pandai, yang bijak boleh nampak bodoh dalam sekelip mata.

Maka hiduplah dalam keadaan bersederhana. Tak perlu tunjuk pandai. Tak perlu tunjuk hebat. Sebab tidak ada apa hendak digahkan.

*****

Andaikata dikau adalah beban buatku, maka akan ku terima dengan hati yang redha.

Andaikata engkau jadi kesusahan buatku, maka akan aku tanggungnya dengan hati yang ikhlas.

Sebab engkau di hati.

Posted by Posted by Ariff Arifin at 3:51 AM
Categories: Labels:

0 comments  

Wednesday, September 9, 2009


Aku titipkan salam buat sahabat. Yang jauh di mata, tapi mana mungkin jauh di hati.

Aku titipkan salam buat seorang guru. Yang ajarkan aku banyak perkara dalam kehidupan.

Aku titipkan salam, buat seorang abang, yang sangat aku kasihi.

*****

Hidup di dunia, kita terlalu banyak menggambarkan kekecewaan pada diri.

Pesan buat sahabat. Fikir yang terbaik dan buatlah keputusan setelah berminta kepada Tuhan. Kerana DIA Maha Adil dan tahu apa yang terbaik untukmu.

*****

Hidup ini bukan untuk mati dikenang sebagai orang hebat-hebat.

Cukup jika dapat mati dalam keadaan yang baik; husnu al-khatimah.

Kerana menjadi orang yang hebat-hebat di mata manusia, belum tentu menjamin tempat yang tinggi di sisi Allah Azza wa Jalla.

*****

Ramai yang mengucapkan taubat. Dan ramai juga yang memungkirinya.

Aku risau kalau aku termasuk dari kalangan mereka.

Teringat pesan Syeikh, ini taubat penipu. Ketika meminta ampun menangis-nangis, keluar sahaja dari tempat solat, pergi membuat mungkar semula.

Aku risau. Sungguh.

*****

Apa-apa yang disuruh oleh Rasul kita lakukan, apa yang ditegahnya kita tinggalkan. Inilah ISLAM.

Posted by Posted by Ariff Arifin at 8:07 PM
Categories: Labels:

0 comments  

Bulan Ramadhan bukan bulan makan banyak. Bukan bulan menyumbat. Bukan bulan sental semua benda sampai licin dan habis. Bukan bulan makan sampai kenyang, sampai mata buntang, macam kena strok.

Tapi bulan untuk makan berpada-pada. Sebab Allah telah mengisyaratkannya dalam al-Quran.

Al-A'raf: 31

*****

Pengembaraan malam-malam, mencari yang lebih baik dari seribu bulan bakal bermula. Dan pengembaraan ini bukan dongengan.

Maka kalau malas-malas, wajar difikirkan cara untuk dirajinkan. Semoga Allah memberi keampunan kepada kita semua.

*****

Cerita dongeng ini baru saja berlaku...

Di sebuah kampung, keadaan sedang bergolak. Gara-gara penghulu menggoda anak gadis pinangan orang. Lebih merumitkan keadaan, bila bekas penghulu masuk campur. Maka keadaan berbelit-belit. Jadi caca merba.


Agaknya orang besar dalam kampung itu memang suka memikat anak gadis milik orang. Apa kes??

Biasalaaahhh.. Benda biasa dalam kampung kecil..

*****

Ini pula, cerita dongeng kedua yang aku dengar. Banyak sungguh dongengan akhir-akhir ini.

Kadang-kadang, kita terlalu mudah berkata akan apa yang kita sendiri tidak tahu.

Ada orang menyuruh dan berpesan-pesan untuk husnu zhonn, atau bersangka baik, sesama saudara. Katanya kalau tidak reti husnu zhonn, maka hubungan akan tercalar dan terbengkalai.

Benar. Dan tidak ada yang menafikannya.

Namun, kalau terjadi sesuatu kes, maka kita perlu selidik samada ianya benar atau tidak. Maka kita perlulah berlaku adil. Kalau boleh suruh orang bersangka baik, maka kenapa tidak boleh menyiasat? Kenapa tidak boleh bertanya dua-dua pihak.

Pelik.. Pelik..

Mungkin sebab yang menyuruh bersangka baik itu sebenarnya sedang bersangka buruk.

Adakah aku sedang bersangka buruk?

Posted by Posted by Ariff Arifin at 9:31 AM
Categories: Labels:

3 comments  

Friday, September 4, 2009


Hidup jangan caca merba.

Hidup biar ikut sunnah.

Semua sudah diajar Islam. Daripada buang air besar, sampai ke memimpin negara. Semua ada dalam ajaran Islam.

Jadi, yang mana satu nikmat ISLAM yang hendak kau nafikan?

Atau bagi engkau.. Islam itu bukan satu nikmat??

*****

Jangan bercakap pasal benda yang engkau tidak tahu.

Benda mudah, lagi ringan dan senang.

Namun yang payah bagi para manusia adalah untuk meninggalkan percakapan. Sebab sudah jadi tabiat suka bercakap dan tunjuk pandai. Sebab sudah tabiat untuk jadi orang yang hebat, konon-kononnya.

Maka.. Bercakap.. Dan bercakaplah banyak dan banyak.. Dan banyak.. Andaikata kau mencari jalan ke neraka..

Maka.. Bercakaplah benda yang engkau tidak tahu.

*****

Adakah sebab engkau membenci seseorang. Maka engkau akan membuangnya terus dari hidup?

Aku memilih untuk berlaku adil.

Kerana aku sayang pada persahabatan.

*****

Bukan susah hendak membuat kebaikan. Membuang satu halangan di jalan adalah kebaikan. Memberi minum anjing yang haus juga adalah kebaikan.

Maka kita penuhkan iman dalam dada dengan membuat kebaikan.. KERANA ALLAH TA'ALA.

Dan ketahuilah, bahawa Allah itu maha pengasih dan tidak lokek dengan ganjaran yang banyak kepada hambanya.

Tepuk dada.. Tanya apa yang kau inginkan..

Tanya.. Tanya.. Dan tanya..

Kerana esok lusa, saat nafas di halkum, maka engkau dan aku tak dapat lagi memutar balik waktu yang kita mahu..

Maka.. Tanya dan tanya..

Posted by Posted by Ariff Arifin at 10:57 AM
Categories: Labels:

0 comments  

 
>