Kalau dosa semalam itu boleh dipadam, digalang ganti dengan satu amalan yang boleh membuahkan pahala. Pasti aku pilih amalan yang boleh membuahkan pahala itu. Kerana dosa yang ada itu boleh saja mengheret aku ke jurang neraka.
Aku minta moga dibisikkan hidayah ke jiwa, moga dikhabarkan sabar pada perasaan, moga dipasung dari buat segala dosa. Kerana sesungguhnya pada aku ini adanya tangan yang merosakkan!
*****
Sayangnya dosa itu bukan mimpi. Andaikata ia mimpi, mungkin saja jiwa boleh jadi tenang dan aman.
Namun parut dosa itu, tetap, akan kekal dalam kenangan
*****
Tuhan..
Perkenankan taubat hambaMu yang tiada apa ini..
*****
Dia orang baik-baik. Dari keturunan baik-baik.
*****
Nafsu kalau dapat dikekang dari menjadi gila. Maka akan aku kawal biar ia jadi haiwan yang jinak-jinak dan mengikut cakap.
Namun ia haiwan yang kadang-kadang menggigit tuannya.
*****
Manusia mana mampu menipu tuhan. Pada perkara baik yang kau lakukan, ada ganjaran besar menanti.
Pada maksiat yang kau lakukan, ada padanya dosa dan azab.
Tuhan..
Ajarlah aku untuk menangis bilamana mengenangkan dosa.
*****
Berikan kami kekuatan.. Dalam mengharung kehidupan.. Jauhkan kami dari dosa.. Jauhkan kami dari mungkar dan maksiat..
Berikan kami peluang merasa nikmat syurga.
*****
Kita meminta dengan dua sifat..
Khauf.. Takut..
Dan juga raja'.. Yakni harap..
Maka jangan kita leraikan pintalan yang mengikat dua sifat ini..
Monday, August 31, 2009
Posted by Posted by
Ariff Arifin
at
2:41 PM
Categories:
Labels:
cuma kata-kata
0
comments
Saturday, August 29, 2009
Sayap-sayap berterbangan....
Pergi jauh....
Bayangkan kalau iman keluar dari diri seperti burung keluar dari sarangnya?
Maka tinggal apalah kita untuk dijadikan bekal? Mungkin terkapai-kapai jadi orang yang hanyut, hanyut seperti batang kayu reput di kali.
*****
Keseronokan dunia tentu sahaja menggamit orang untuk tinggal lama di dalamnya.
Ironinya, semua orang akan pergi. Akan mati.
Jadi buat apa hendak susahkan diri mengejar apa yang memang akan habis dan padam? Yang penting adalah guna pada kadar yang perlu.
Sebaliknya cari dan peganglah yang kekal. Yang di sana adalah yang kekal.
*****
Prinsip menjadi ketua.
Bukan menuntut orang mengikut telunjuk kita dengan paksa. Tapi dengan rela dan senang hati.
*****
Bulan Ramadhan.....
Orang lebih sibuk jaga tangan dari menyentuh hidung - bimbang kalau-kalau terkorek - dari menjaga mata dan telinga dari benda-benda yang mungkar.
Maka di mana justifikasi yang betul dalam menjaga pahala puasa anda?
*****
وعن أبي هريرة رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه و سلم قال لو أخطأتم حتى تبلغ السماء ثم تبتم لتاب الله عليكم
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW berkata; "Jikalau kamu melakukan kesalahan sehingga mencecah langit, kemudian kamu bertaubat, maka Allah akan memberi keampunan kepadamu."
Posted by Posted by
Ariff Arifin
at
10:14 PM
Categories:
Labels:
cuma kata-kata
2
comments
Thursday, August 27, 2009
Jadi seorang manusia yang waras kena ada disiplin.
Secara dasarnya, disipilin itu dibentuk, dan terbentuk dengan sendirinya sedari mula lagi. Maka sebab itu bila kau lahir, atau masa kau kecil, kau menangis pada waktu-waktu yang tertentu akibat kerana lapar.
Tidak kira banyak atau sikit. Manusia pasti ada disiplin. Cuma bagaimana dia menjaganya jadi persoalan.
Jadi, aku rasa pelik kalau ada orang tidak buang najis dalam lubang. Sebaliknya ada di luar lubang.
*****
Susah hendak puaskan hati manusia.
Buat macam itu salah. Buat macam ini pun kena pangkah.
Walhal bendanya mudah. Tapi sengaja bikin susah. Memang fitrah mereka barangkali, tidak cukup dengan satu perkara.
Duduk hutan lebih aman barangkali daripada berinteraksi dengan manusia.
*****
Orang yang puasanya, Ramadhannya pergi berlalu. Tanpa mendapat keampunan dari Allah. Maka kecelakaanlah baginya. Dan moga kita dijauhkan dari perkara tersebut.
*****
قال النبي صلى الله عليه و سلم قال الله عز و جل يا ابن آدم قم إلي أمش إليك وامش إلي أهرول إليك
Berkata Nabi SAW, bahawa Allah Azza wa Jalla berfirman; "Wahai anak-anak Adam. Kamu berdiri (menuju) kepadaKu, Aku berjalan kepadamu. Dan kamu berjalan kepadaKu, Aku berlari kepadamu." [Riwayat Ahmad dengan sanad yang sahih]
Allah, Rabb al-Jalil memanggil kita; anak-anak Adam, maka yang paling wajar adalah untuk menyambut panggilanNya.
Tidak mahukah kita menuju ke pintu taubat? Tidak mahukah kita dengan pelepasan dosa-dosa? Dan dilepaskan dari azab seksa Jahannam?
Ayuh!
Posted by Posted by
Ariff Arifin
at
12:07 PM
Categories:
Labels:
cuma kata-kata
1 comments
Monday, August 24, 2009
Puasa adalah untuk menahan diri daripada makan dan minum dari terbit matahari sehingga terbenam ia, Lillahi Ta'ala.
Puasa juga adalah untuk menahan mulut dari berbicara kalam yang fasiq, melihat benda yang fasid, dan mendengar benda-benda yang jahil.
Jadi apa jadahnya untuk kau berkata "inni saa'im" sambil mendengar lagu dan menonton video Lady Gaga?
*****
Ikram Muslim secara umumnya membawa maksud memuliakan saudara sesama agama. Maka kita sepatutnya cuba dengan sedaya upaya memuliakan saudara yang menganut agama yang sama dengan kita.
Tapi apa faedahnya kalau engkau war-warkan ikram Muslim dalam idea dakwah kau, tapi pada masa yang sama kau suka menyakitkan hati orang disekeliling kau?
*****
Aku rasa ralat kalau ada benda-benda berkaitan agama yang disebar luas dengan percuma. Tapi orang tak hendak, atau orang tidak pandang. Akibatnya, macam aku selalu khabarkan, jadilah agama ini macam kain lusuh yang jarang-jarang ada orang hendak tengok dan pegang.
Jadi jangan salahkan orang itu dan orang ini kalau agama dihina. Sebab tidak terjadi sesuatu musibah di muka bumi ini melainkan jika tidak kerana tangan-tangan manusia itu sendiri. Maka kalau Islam itu dihina, maka ideanya adalah, ia berlaku kerana tangan-tangan Muslim itu sendiri.
Kalau orang Islam tidak pandang berat agamanya. Siapa lagi mahu bela?
*****
Guru aku selalu khabarkan, dan selalu berdoa. Agar bersyukur berada di dalam Islam, dan sunnah Rasulullah.
Maka apakah yang lebih baik dari berada dalam agama yang diredhai Allah?
Posted by Posted by
Ariff Arifin
at
4:27 PM
Categories:
Labels:
cuma kata-kata
0
comments
Thursday, August 20, 2009
Ada orang kata, kita berpuasa sebagai satu hikmah, untuk mendalami rasa susah sebagaimana orang-orang miskin tak berharta rasa.
Tapi aku geleng kepala.
Sebab kalau engkau berbuka puasa dengan makan yang mewah-mewah, yang kemudiannya terpaksa dicampak dibuang jadi sisa atau diberi makan kucing. Maka pernyataan di atas itu adalah benda yang retorik.
--------------------
Zakat yang kita keluarkan adalah sebagai satu cara untuk mengurangkan rasa susah di bahu saudara-saudara seagama kita. Agar mereka dapat merasa menjadi senang. Atau sekurang-kurangnya, tidak merasa susah.
Tapi aku pelik. Sebab zakat yang dikutip, hasilnya yang diumum setiap tahun sampai juta-juta nilainya. Tapi di negara aku masih ada orang miskin telanjang dan merempat di jalanan.
Dan aku rasa pelik juga sebab nasib mereka lebih terbela kalau mengadu kepada rancangan-rancangan TV macam Bersamamu. Dan aku lebih rasa pelik sebab pusat zakat di negara aku ini tidak begitu proaktif dalam membela masyarakat miskin.
Sebab itu aku tidak hairan kalau di kampung, atau kawasan perumahan para pegawai zakat, masih ada orang miskin merempat.
Akhirnya duit juta-juta itu sekadar jadi labu peram. Yang kaya akan terusan kaya dan boleh makan ayam golek bakar. Yang miskin akan terus kekal sesak dan esok lusa, dia, mereka, dan keturunan mereka mungkin saja telanjang macam zaman-zaman primitif.
--------------------
Puasa bermula sabtu. Maka kita berusaha untuk memantapkan keimanan kita kepada Allah Azza wa Jalla agar mampu menempatkan diri kita ke tempat asal nenek moyang kita, iaitu syurga.
Kita ini umpama orang merantau. Dunia ini sekadar persinggahan. Esok lusa kita akan kembali ke tempat asal juga. Melainkan kita ingin melencong, sampai jatuh ke jurang paling dalam dan gelap.
--------------------
Apa hukum berpakaian seksi ketat gelemat di Tanah Haram?
Posted by Posted by
Ariff Arifin
at
8:11 AM
Categories:
Labels:
cuma kata-kata
0
comments
Saturday, August 15, 2009
Dulu, pemandangan orang kita mabuk-mabuk minum arak tersadai dan muntah-muntah di tepi jalan adalah satu taboo dalam kehidupan masyarakat kita.
Tapi hari ini tidak lagi. Sebab ianya sudah jadi halwa mata masyarakat.
Anak-anak muda mabuk sebab minum todi dan bir murah sudah jadi pemandangan biasa. Kalau bercakap pemandangan ini di bandar-bandar besar semacam Kuala Lumpur, itu adalah fenomena biasa. Tapi kalau sudah menjangkiti bandar-bandar kecil maca Kuala Terengganu, itu adalah satu kepelikan.
Balik ke kampung dan duduk bersama seorang rakan beberapa bulan yang lepas, rupanya bukan saya sahaja yang ada rasa sesak melihat perkara ini.
Beberapa perkara yang perlu kita teliti dalam menyelami keruntuhan akhlak remaja hari ini. Sebab yang nyatanya, moral decay yang berlaku hari ini, bukan saja menjangkiti anak-anak Melayu yang tinggal di bandar besar. Kalau kita bercakap pasal keruntuhan akhlak di kalangan anak-anak bandar. Itu perkara semalam.
Saya pernah masuk ke felda-felda yang jaraknya dua tiga jam perjalanan dari bandar besar. Perkara yang sama juga terjadi. Dan hakikatnya benda ini lebih teruk berlaku.
Isu rempit? Ini cerita basi.
Usah kata minum todi sampai mabuk-mabuk. Mereka boleh buat lagi teruk dari itu. Ada yang buat hubungan dengan guru perempuan juga ada.
Kenapa saya bercakap mengenai perkara ini? Sebab kita sebenarnya terlalu hanyut dengan perkara-perkara lain sehingga kita lupa dengan halatuju anak bangsa sendiri. Kita terlalu asyik bercakap pasal orang mati terjun bangunan, pasal orang itu, pasal orang ini. Sehingga kita akhirnya terlupa maruah masyarakat kita, orang Melayu, dan orang Islam sudahnya ibarat baju lusuh yang tidak ada hendak orang pandang.
Akhirnya kita yang jadi pelik.
Berapa ramai yang sedar pasal benda-benda yang semacam ini? Adakah kita mengharapkan akhirnya fenomena buang anak, atau, beranak dalam jamban akhirnya jadi satu benda yang biasa sehingga polis pun tidak mahu buat apa?
Sudah sampai waktu untuk kita celik dan fikir.
Posted by Posted by
Ariff Arifin
at
9:36 AM
Categories:
Labels:
cuma kata-kata
2
comments
Friday, August 14, 2009

Darul Quran al-Wildan (DQAW adalah pusat tahfiz al-Quran yang diasaskan oleh guru saya yang amat saya hormati; Ustaz Muhd Fadzil Bin Kamaruddin dan isteri beliau, Ustazah Suzeini Mohammad.
Dan sekarang, DQAW sedang melebarkan sayapnya dengan pembinaan pusat tahfiz baru, bagi menggantikan tempat yang sedia ada. Lokasi bagi pembinaan pusat tahfiz DQAW yang baru adalah di Lot 2359, Kg. Batu Punggul, Mukim Batang Kali, Daerah Ulu Selangor.
Sumbangan tuan-tuan yang mulia adalah diharapkan bagi melancarkan usaha pembinaan ini.
Oh ya. Di atas adalah gambar-gambar yang sempat saya snap ketika berkunjung ke al-Wildan.
Jadi, apa lagi? Mari menderma.
# Darul Quran Al Wildan, Maybank, No Akaun: 564221621546
# Darul Quran Al Wildan, Bank Muamalat, No Akaun: 14030005250717
Anda juga boleh menjengah web Darul Quran al-Wildan (http://luvquran.blogspot.com/)
Posted by Posted by
Ariff Arifin
at
9:50 AM
Categories:
Labels:
cuma kata-kata
0
comments
Saya jumpa orang gelandangan di jalan kecil itu. Pusing keliling dia berjalan. Mata melilau-lilau semacam mencari sesuatu. Saya tepuk bahunya, tanyakan apa yang dia cari.
Dia jawab, "Aku cari syurga.. Kau hendak tolong?"
----------------------------
Bulan puasa sudah hendak menjelang.
Pencarian kita bermula semula. Universiti dibuka semula.
Saya tertanya-tanya, pilihanraya Permatang Pasir nanti akan aman kah? Damai kah ia dari mulut-mulut busuk orang dan cerca-cerca mereka?
Saya harap mereka akan lebih rasa letih berpuasa dari letih memaki hamun.
----------------------------
Dalam TV kita tengok orang ini kata begitu, orang ini kata begini.
Namun pasal DAP menghina orang Islam. Saya tak mahu kompromi. Saya rasa malu kalau agama saya terpaksa dihina, dan saya sebagai penganutnya terpaksa telan. Malu!
Posted by Posted by
Ariff Arifin
at
5:39 AM
Categories:
Labels:
cuma kata-kata
0
comments
Wednesday, August 12, 2009
Munafik
Aku mengajaknya berdiri di satu tempat yang lebih selesa. Kaki aku rasa jaki kerana berdiri terlalu lama. Rasa lenguh menjalar ke setiap genap urat yang berada dalam tubuh.
"Kan saya sudah kata. Semua lelaki semuanya gatal dan suka pura-pura. Orang macam awak pun sama. Baru terlanggar bahu sudah mahu ambil kesempatan."
Aku laju-laju memintas yang aku tak pernah ada idea untuk ambil kesempatan ke atasnya. Selain tertarik dengan kenyataan berani matinya yang kata dia sudah bukan Islam. Sudah bukan bertuhankan Allah. Aku tidak ada apa yang mahu aku cari dari dirinya.
Dia masih mencebik. Dan aku suka lihat wajahnya demikian. Kali terakhir aku lihat wajah yang begitu mempesonakan beberapa tahun yang sudah. Masa aku masih di universiti. Masa aku terperangkap dalam keseronokan neon-neon dunia yang bikin aku jadi leka.
Nama gadis itu aku sudah lupa. Aku jumpa sewaktu dalam sebuah kelab di Bristol. Kami berpesta sampai siang. Sampai rasa panas matahari menggigit kulit hitam aku.
Aku memang leka waktu itu. Segala benda aku lupa. Hendak bertanya khabar emak dan bapak di rumah buruk di kampung juga aku tidak ingat. Syurga dunia itu buat aku rasa hati ini macam hendak terperosok ke dalam. Sebabnya aku malu hendak mengingat semula cerita itu. Rasa macam hendak mati sebab malu yang teramat sangat. Sebabnya aku malu kepada tuhan.
Di waktu itu aku boleh lupa agama yang aku janji hendak dan pasti aku genggam. Dan janji itu aku buat pada emak dan bapak. Akhirnya aku hidup dalam keadaan munafik di bumi orang.
Nafsu
Aku termenung panjang semasa mengajaknya. Aku memandangnya. Dia memandangku. Dan orang di sekeliling memandang kami. Aku jadi naik malu. Ada bisik-bisik mulut busuk yang lalu di sebelah aku dan dia marah-marah sebab mengganggu jalan.
Sebab itu aku menggesanya ikut sahaja bersama ke tempat berteduh di sebelah pustaka awam itu. Aku akan berdiri di situ mendengar ceritanya. Tak perlu duduk dekat rapat.
Aku tahu dia pandang serong kepada diriku, atau orang-orang yang macam aku. Tapi, masakan aku sanggup berdiri lagi 2 jam di situ.
Dia kata lagi, yang orang lelaki. Pakai kopiah dan berjanggut itu lagi tinggi nafsunya. "Mungkin sebab kopiah dan janggut yang panjang itu dah jadi macam pasung nafsu. Tapi bila menggila.."
Sebab itu katanya dia tak mahu dekat dengan aku. Bukanlah aku mahu duduk dekat dengannya. Aku tahu apa yang bakal berada di antara kami kalau duduk berdua-dua.
Sebab itu aku sanggup berdiri. Dia duduk jauh-jauh. Aku akan dengar dia bercakap. Aku akan menjerit kalau dia tak dengar. Asal suasananya lebih selesa. Tapi tak sanggup aku duduk berbumbung matahari. Sampai menggelegak ubun-ubun kepala.
Aku dan dia pergi ke tempat teduh berbumbung. Aku dudk di sebelah sini. Dia duduk di sebelah sana. Orang lalu lalang di antara kami. Setan juga mungkin.
Watak penting dalam plot kemungkaran itu ada di mana-mana.
Syaitan
Gadis itu bercerita yang dia diperkosa oleh teman lelakinya tak mengira waktu dan ketika. Siapa sangka, orang yang warak, disayangi para asatizah di fakulti tempat mereka belajar. Rupanya menggonggong nafsu si setan. Tanduknya mungkin lebih panjang dari setan.
Kata dia, mereka kenal-kenal sewaktu program orientasi. Dia pelajar baru, dan lelaki jalang itu lah yang menyambutnya masuk. Waktu itu semua rakan-rakannya tergila-gilakan ustaz muda itu. Orangnya segak. Janggut rapi itu jadi penambah seri wajah.
Tapi tak ada orang sangka yang dia sebenarnya sekadar lelaki gatal yang cuma tunggu masa menelan, meratah mangsa.
Aku tanya kepada dia. Kenapa dia menerima dan boleh jatuh cinta.
Dia khabarkan, yang dia tidak tertarik langsung pada lelaki hidung belang itu. Sekurang-kurangnya, tidak pada waktu orientasi itu berjalan. Bapanya sudah pesankan yang dia jangan pandai-pandai hendak menggatal ketika masih belajar. Dan ibunya sudah beri wasiat agar jangan belajar bercinta kalau baru hendak belajar menulis alif, ba dan ta.
Tapi katanya dia tewas. Dia tewas kerana pada sudut pandangnya, lelaki tersebut terlalu mulia, terlalu agung. Kepandaiannya memikat hati si gadis. Dan rendah hati dan sifatnya menyebabkan dia tewas jatuh cinta.
Tapi rupanya lelaki itu pandai ambil kesempatan. Sifatnya yang konon baik-baik cumalah pura-pura.
Mereka mula dengan belajar. Belajar berdua. Mula-mula di tempat awam. Tempat ramai orang boleh nampak. Kemudian mereka cari kelas-kelas kosong yang banyak sekitar fakulti. Mahukan privasi kata si lelaki.
Gadis itu kata, dia tidak setuju. Takutkan tuhan. Tapi si lelaki pandai memujuk. Diberikan macam-macam alasan sampai tak tertolak oleh si gadis.
Mula-mula ikhlas mengajar. Kemudian pen ke mana, kitab ke mana. Tangan lelaki sudah pandai meraba. Sekejap di pinggang, sekejap kemudian di dada. Si gadis diam. Mula-mula katanya dia benci, lama kelamaan dia jadi seolah seronok. Punah dengan tiupan setan.
Akhirnya dia rebah atas ranjang maksiat. Jadinya dia lebih hina daripada pelacur jalanan. Rebah di atas meja kelas. Pelacur sekurang-kurangnya mendapat juga katil lusuh. Tapi dia dikerjakan atas lantai meja.
Aku cuma mencebik dalam hati. Melihat wajah gadis itu menangis. Dia menangis dengan hatinya.
Gila
Kata gadis itu, dia sudah hampir jadi gila kalau mengenang nasib yang menimpa dirinya.
Katanya, dia ditipu agama.
Aku berkali-kali menafikan. Dia bukan ditipu agama. Agama tidak pernah menipu. Tapi teman lelakinya yang gila dan hidung belang itu yang menjadi punca.
Dia mencebikkan bibir.
Katanya, mana aku tahu. Aku bukan pernah alami keadaan macamnya.
Kalau diperkosa lelaki. Ya. Aku memang tidak pernah.
Tapi kalau dia menyebut keadaannya yang dia kata sudah tinggalkan agama, dan tinggalkan tuhan. Tinggalkan pegangan. Mana mungkin orang yang pernah berada dalam satu keadaan yang agama dan tuhan macam mainan ini tidak faham. Mana mungkin. Aku orang yang pernah sembahyang di wat siam kerana kagumkan falsafah dalam agama Buddha, orang yang pernah sembahyang di gereja kerana kagumkan Mother Theresa, orang yang sama juga pernah menyembah Lao Tze dan fahamannya. Mana mungkin aku tak faham. Di saat aku jumpa kembali semula Islam, itu yang paling indah. Mana mungkin aku tak faham.
Sebab itu aku cuma diam bila dia cebikkan bibirnya. Kerana aku faham. Aku sangat faham.
Kerana aku pernah juga gila macam dia.
Lemah
Aku khabarkan kepada dia. Yang sifat manusia itu lemah. Mudah tunduk.
Dia sekarang sudah tunduk kepada putus asa, pada kegilaan yang bermaharajalela dalam hidupnya.
Dia cuma diam. Aku boleh nampak matanya ada air yang berlinangan. Orang lalu lalang memandang. Mulut mereka terkumat-kamit. Ada seorang yang bercakap terlalu kuat sampai aku boleh dengar. Katanya aku jahat sebab bergaduh di khalayak awam, di tempat orang lalu lalang, dan biarkan teman wanita aku menangis macam budak.
Aku cuma senyum.
Dia bertanya kenapa aku senyum. Kisahnya lucukah?
Aku menjawab yang aku senyum dengar keluhan orang ramai pasal dirinya. Dia juga senyum.
Aku kata yang sudah menjadi adat manusia bila terlalu lemah akan dikuasai apa sahaja. Sudah menjadi lumrah, bilamana manusia duduk dalam satu keadaan yang menekan, dia akan mula mencari tempat untuk disalahkan. Cuma dalam kesnya ini, sangat berat. Dia salahkan tuhan padahal dia tidak ada hak berbuat demikian.
Gadis itu menyeka air mata dengan jari runcingnya.
Dia kata yang dia salahkan tuhan bersebab.
Aku katakan kembali, bahawa bersebab atau tidak bersebab, sebab itu tidak wujud sebenarnya. Sebab yang hadir dalam hatinya, dalam sangkaannya cumalah perbuatan hasil permainan setan.
Sudah zaman berzaman si setan datang menyesatkan anak Adam. Aku katakan kepada si gadis, dia bukan mangsa terbaru. Mungkin saja si setan terkikih ketawa melihat seorang anak gadis yang baik sudah jadi separuh gila dan tinggalkan agama sebab berjaya disesatkan.
Dan aku katakan lagi, bahawa temannya itu juga si setan. Sebab dialah dalang dalam hal ini. Setan dalam menyesatkan anak Adam, manakan mungkin bertopeng yang buruk-buruk. Melainkan ia datang dalam keadaan baik-baik semuanya. Sebab itu namanya talbis. Dan temannya juga begitu sama sifatnya.
Hawa
Aku katakan yang aku lupa tanyakan namanya. Dia kata, namanya Hawa. Aku senyum. Aku kata indah. Indah namanya. Macam nama nenek moyangnya juga. Wanita pertama yang hidup senang dan susah bersama Adam. Lahir di syurga sebelum dicampak ke dunia sebab memakan buah dari pohon terlarang.
Aku katakan lagi, yang kesilapan nenek moyang kita dahulu kerana diperdaya setan usah lah diulang semula. Cukuplah kita ambil iktibar. Dan contohilah mereka yang berubah.
Aku tanyakan. Tidak mahukah dia berubah.
Katanya, dia sudah terlajak jauh. Jauh benar sehingga tergelincir dari agama.
Aku katakan. Sebanyak mana dia gelincir. Pasti ada jalan untuk dia kembali semiula ke atas jalannya yang asal. Cuma sekarang, terpulang padanya samada mahu kembali atau tidak. Sebab Islam sudah sediakan jalan. Dengan taubat.
Aku kata dia sudah ada asas agama. Mudah untuk kembali.
Taubat
Dia khabarkan dia jatuh cinta dengan aku. Aku diam. Aku senyum. Padahal dalam hati juga melurut rasa.
Aku kata yang aku juga seorang pendosa. Sedang meniti jalan-jalan taubat. Sedang mencari satu rahmat tuhan di hujung jalan.
Aku kata aku malu kepada tuhan kerana aku manusia yang banyak buat dosa. Dan lebih teruk, aku tidak segan silu berbuat dosa. Sebab itu sekarang aku malu pada tuhan.
Sebab perumpamaan diri aku, macam orang hilang ingatan yang bertelanjang bulat di khalayak umum. Sebaik saja sedar dari tidak warasnya. Dia sudah saja berbogel. Apakah tidak patut untuk dia rasa malu? Aku pun begitu.
Aku kata. Aku menunggunya kembali di sini. Menunggunya berubah. Aku tak akan pernah rasa jemu duduk menunggu dia di sini. Di antara orang ramai lalu lalang ini aku ingin sekali berbual, mendengar perubahannya. Mendengar akan perkenalannya dengan tuhannya semula. Dengan agama semula.
Aku berpaling untuk pergi. Dia tanya apa namaku.
Aku jawab pendek dengan senyuman.
"Nama aku Adam. Sedang menunggu khabar taubat dan taat dari Hawa."
Posted by Posted by
Ariff Arifin
at
9:15 AM
Categories:
Labels:
cuma kata-kata
5
comments
Tuesday, August 11, 2009
Dipetik dari blog Suparjo
SAYA tidak faham jika orang yang berjuang untuk menjaga maruah umat Islam tidak tersentak hatinya dengan penghinaan oleh orang bukan Islam terhadap seorang Islam. Jelas Dr Ridhuan Tee dihina sebagai pencuri, perompak, penyejayah atau penyangak, malah dikatakan anak haram oleh seorang ahli politik bukan Islam. Apa ertinya semua ini kalau bukan kerana kebencian terhadap Islam dan umatnya.
Dr Ridhuan hanya menulis dalam Mingguan Malaysia 27 Julai 2009 bertajuk Nasib Melayu di bumi Melayu, tanggal 2 Ogos 2009 bertajuk Bila kacang lupakan kulit dan pada 9 Ogos 2009, Bahaya matlamat menghalalkan cara. Sekalipun bertegas dengan kedudukan dirinya berketurunan Cina namun Dr Ridhuan membela orang Melayu yang beragama Islam. Dia membela Islam dan umat Islam, yang kebetulan orang Melayu. Pembelaannya terhadap umat Islam atau Melayu sekaligus meminta orang bukan Melayu sedar diri tinggal dalam negara yang sejak sekian lama dipunyai oleh orang Melayu.
Seperti kata Dr Ridhuan, dia memilih untuk berhadapan dengan risiko mendedahkan kesilapan orang Melayu dan sikap kiasu bukan Melayu. Kebanyakan pemimpin Melayu (tentu orang politik dalam Umno, Pas dan PKR) sudah tidak berani bersuara mengenai nasib orang Islam dan Melayu kerana sangat takut kehilangan sokongan orang bukan Melayu.
Bohonglah orang Melayu yang duduk dalam mana-mana parti politik tidak merasa cemas dengan kedudukan dan suasana orang Melayu masa kini. Masing-masing sudah terperangkap dengan jerat yang mereka pasang, jadi sekarang kaki mereka sudah terikat. Maka tinggal orang Cina seperti Dr Ridhuan yang lantang menyuarakan hak orang Melayu. Lelaki Cina membela nasib orang Melayu sambil memarahi kaum Cina!
Marilah memberi sokongan moral kepada Dr Ridhuan yang berkorban untuk membela nasib umat Islam atau Melayu. Janganlah berbohong dengan mengatakan tidak akan berjuang atas nama Melayu, tetapi atas nama Islam. Keadaan yang berlaku sekarang sudah membuktikan manakah yang retorik dan hakikat. Segala kekuatan dan kelemahan orang Melayu dalam mana-mana parti politik sudah terbuka dan dinilai dengan adil. Baik orang Melayu dalam Umno, Pas dan PKR, semua sudah berpeluang menjadi pemerintah dan melaksanakan dasar parti. Rakyat sudah tahu, dan ahli politik Melayu tidak perlu lagi beretorik ‘Melayu itu asabiah’ atau ‘perjuangan Islam kamu sempit’.
Luculah kalau orang Pas menyalahkan masalah orang Islam kerana dasar Umno. Kemudian Umno menyalahkan Pas yang tidak tahu berpolitik dan menjaga kepentingan umah. Namun itulah susahnya orang politik, semua akan dilelong kerana ego dan serakah.
Alamat blog Dr Ridhuan Tee seperti berikut: http://ridhuantee.blogspot.com/
Komen saya:
Saya rasa sangat pelik melihat senario politik negara. Lepas satu, datang satu yang lain.
Terasa semacam maruah dan intipati Islam seperti sangat murah bila hendak dibanding dengan survival politik sesetengah orang yang memakai tag nama Ahmad, Abdullah, dan lain-lain nama yang ada unsur Islamik.
Sebab itu, saya tidak merasa hairan mana bila tidak ada orang hendak membela Dr Ridhuan Tee Abdullah yang mempertikaikan kenapa anak luar nikah Teoh Beng Hock diangkat jadi anak halal. Yang mana dia dimaki dan dicarut oleh sesetengah orang - yang sama bangsa dengannya - akibat hal ini.
Mengangkat kembali idea Zulkifli Noordin dalam lamannya yang berpendapat Dr Ridhuan ada hak untuk menyatakan pandangannya kerana dia lebih tahu apa yang diperkatakannya. Dia lebih tahu apa yang berkait rapat dengan bangsanya. Maka, tidak wajar sekali untuk orang mempertikaikan beliau.
Cuma yang menyedihkan, bila mana seorang cina Islam memperkatakan hal ini di khalayak umum, yang mana menyebabkan beliau dimaki sebagai anak haram dan lebih teruk, menghina agama Islam di dalam sebuah web seorang yang ada nama dalam pakatan pembangkang. Tiada sahut-sahut bunyian suara yang lantang mendakwa mereka membela Islam, pergi membela Dr Ridhuan. Adakah sebab perselisihan politik, menyebabkan penghinaan yang dilempar kepada Dr Ridhuan, serta Islam itu sendiri, akhirnya dibuat dek oleh mereka?
Atau, adakah sikap, "Parti kau, kau saja bela. Parti aku, aku akan bela" jadi lapik asas?
Jadi, kita merasa pelik melihat hal ini.
Saya bercakap perkara ini bukan sebagai orang parti. Tak kira parti mana. Hijau, merah, biru, biru muda. Bukan semuanya. Setidak-tidaknya sehingga perkara ini diselesaikan. Tidak selagi mana perkara ini tidak diangkat ke permukaan dari dasar.
Dan saya rasa pelik melihat orang yang mendakwa membela Islam semuanya macam mati pucuk bila berhadapan dengan DAP dan isu-isu mereka.
Posted by Posted by
Ariff Arifin
at
8:33 PM
Categories:
Labels:
cuma kata-kata
0
comments
Monday, August 10, 2009
Aku
Orang biasa. Orang kampung. Sudah banyak tempat dijarah. Sudah banyak karenah diratah. Aku bukan orang hebat-hebat. Bukan orang baik-baik.
Orang degil. Zaman kecil-kecil. Ibu aku selalu menarik-narik ekor rambutku. Ekor rambut persis ekor kura-kura itu biasan orang degil dan bengkeng katanya. Macam bapakku. Aku diam. Tapi ternyata itu benar.
Sedari kecil malas belajar. Tapi takdir tuhan. Aku masih lulus pelajaran dengan cemerlang walaupun tak betah menelaah pelajaran. Aku lebih suka duduk mengalas masa di sisi belukar getah. Bermain dengan semut kerengga. Lebih rela bertembung dengan ular tedung sela dari berselisih dengan guru.
Aku masih ingat, bapak lah yang mengheret aku ke sekolah. Laju-laju tangan bapak memukul punggungku. Aku salahkan bapak dan kegarangannya. Tapi lewat besar, aku sedar. Tangan yang memukul itulah yang sebenarnya membelaiku. Ajar aku jadi orang.
Ramai terkejut bila aku lulus belajar dengan cemerlang. Usah kata guru. Emak aku sendiri terkejut lihat sijil belajar menengah aku. Katanya, mungkin aku malas, tapi otakku tak benak. Aku diam. Dalam diam aku terfikir, mungkin doa emak dan bapak yang bawa aku cemerlang begini.
Masuk ke universiti aku berkenalan dengan banyak benda. Benda yang aku tak mahu sebut. Aku malu. Sebab di situ aku mula belajar jadi orang hitam. Jadi orang gelap dalam sinaran lampu neon warna kuning, merah, hijau dan biru.
Dan di situ jugalah aku jumpa sinar cahaya warna putih hapus kegelapan hitam.
Dia
Dia seorang gadis naif. Berbibir merah. Dengan pipi berona kemerahan.
Dia katakan dia sudah lama tinggalkan Islam. Aku masa itu terlanggar bahunya. Di perpustakaan. Jatuh bertaburan buku. Buku aku, bukan dia. Aku ucapkan terima kasih dan mendoakan agar Allah membalasnya kebaikan.
Dia khabarkan dia sudah lama tinggalkan Islam. Tinggalkan tuhan.
Aku terpana. Dan aku bertanya. Siapa sangka. Aku berdiri 2 jam di tempat yang sama mendengar ceritanya.
Aku terpana kerana aku pernah alami keadaan sepertinya. Keadaan sebelum temui cahaya.
Tuhan
Aku tanya lembut, kenapa dia kata begitu. Dia menjawab. Dia sudah putus asa. Katanya kerana bekas temannya.
Aku diam. Aku pernah alami keadaan macam dia. Sewaktu zaman percayakan teman. Sewaktu zaman hanyut dengan kehidupan.
Sebab percayakan teman. Aku sanggup lepaskan agama macam aku lepaskan pakaian dari batang tubuh aku. Mandi bunga di Wat Siam. Terbongkok-bongkok di tokong cina. Meniarap di kuil hindu. Ada satu tahap. Sampai sanggup menyembah manusia. Menjilat tapak kaki orang keramat kata mereka. Hina sungguh bila diingat waktu sebegitu.
Zaman itu, agama dan tuhan semacam lampin pakai buang. Pakai jenama apa pun tak mengapa. Asal ikut rasa selesa. Rasa tak menarik, kurang seronok. Aku tukar yang lain.
Bertahun-tahun aku menangis mengenang keadaan itu. Hodoh dan hina sungguh rasa diri.
Aku bukan macam orang lain. Ada orang tersedar dari lamunan setelah dengar laungan azan. Setelah dengar sahutan Quran.
Aku sedar bila emak menangis mendapat tahu keadaan aku dari anak kawan lamanya. Kawan satu universiti aku di seberang laut.
Emak menangis meraung-raung bila aku jejakkan kaki ke tangga rumah. Katanya dia tak sangka. Budak kurus comot yang malas ke sekolah, tapi tak pernah tinggal kelas mengaji Quran di rumah Tok Siah, bila sudah besar jadi budak yang tinggalkan agama, tinggalkan tuhan.
Aku sewaktu itu diam. Aku memang lebih banyak diam. Aku memang selalunya diam.
Tapi hari itu, aku diam sebab menangis dalam hati.
Tak sanggup melihat emak menangis sampai terjelopok di tangga rumah dan disaksikan oleh jiran-jiran yang sama-sama mengalirkan air mata.
Saat itulah aku tersedar.
Balik ke universiti, aku banyak cari jalan bersihkan jiwa. Aku pilih jalan kesufian. Tapi cara itu tak menepati jiwa. Aku pernah terhangguk-hangguk menari masa berzikir sebelum seorang mat kopiah di tempat aku menyindir aku pedas.
"Hang pi mengadap tuhan, buat ibadat, zikir terhangguk-hangguk. Hang head-bang lagu ka, hang nak dekat dengan tuhan?"
Pendek. Tapi aku sedar.
Akhirnya aku jumpa jalan tuhan. Jalan yang nabi buat. Jalan sahabat buat. Jalan ulama zaman berzaman buat.
Dilema
Aku berdiri lama di situ, mendengar ceritanya. Katanya, dia sudah tinggalkan Islam bila teman lelakinya dahulu, yang dia letakkan kepercayaan sepenuh jiwa dan raga. Yang dia sangka dan harap mampu mendidiknya, akhirnya jadi orang yang meratah batang tubuhnya setiap kali dia punya kesempatan.
Dia tak menyangka, orang yang katanya mahu mengajarinya agama, mengajaknya ke kelas itu dan ini, meratah tubuhnya bila dia ada peluang.
Mula-mula dengan meraba. Kemudian memeluk. Kemudian yang gitu-gitu.
Apa yang mengikat mereka cumalah janji, serta kepercayaan yan diletakkan sepenuhnya kepada temannya itu. Orang yang pada pandangannya baik, dan beriman, serta memiliki ciri-ciri lelaki yang soleh serta taat pada tuhan.
Setiap kali tubuhnya diratah, katanya, temannya selalu saja mencari jalan menghalalkan caranya. Di waktu senggang, temannya banyak memberikan nasihat-nasihat, potongan Quran dan hadith sebagai pedoman. Tapi waktu lain, dialah yang merebahkan tubuh gadis atas ranjang maksiat.
Dakwanya, dia berduka.
Dan dukanya itulah yang akhirnya jadi nanah. Pertama, dia jadi benci kepada lelaki yang nampak macam baik-baik. Kedua, sebab temannya itu terlalu banyak mempergunakan agama, si gadis jadi benci kepada agama. Katanya, orang yang gunakan ayat tuhan, tapi perangainya macam si setan. Dan dia berkata dia berputus harap, sebab bila mengadu kepada tuhan, tiada dikabulkan.
Aku cuma menyumpah dalam hati. Menyumpah betapa durjananya sang lelaki hidung belang bertopeng agama.
Aku tanya lagi, kenapa dia masih bertudung. Tudung yang bukan biasa-biasa. Tudung labuh hingga ke lutut. Jubah besar, sehingga aku tidak tahu dia kurus atau gemuk kalau tidak kerana jari runcingnya.
Jawabnya mudah. Dia sedari kecil sekolahnya ada afiliasi agama. Ayahnya imam masjid besar di tanah tumpah darah. Emaknya guru agama sekolah. Abangnya semua belajar lulus agama. Kakaknya semua menikah dengan orang mengaji agama. Kalau dia tak bertudung, berpakain ranggi seksi. Jawabnya, dia pasti mati kena bunuh.
"Entah-entah kamu pun sama.. Lelaki berkopiah berjanggut macam kamu ini ramai pura-pura dan munafik."
Cinta
Aku rasa jatuh cinta disebabkan tiada rasa malu berterus terang. Masakan tidak. 2 jam aku berdiri tanpa letih lenguh.
Cinta....
Bukan cinta kepadanya. Tapi cinta kepada tuhan.
Sebabnya, keberaniaan dia, cerita dia, menyebabkan perasaan menemui cahaya lama dahulu datang semula. Cinta dan rasa rindu kepada tuhan bertamu semula dalam hati aku yang sudah keras akibat keduniaan. Dari saat itu, aku mula menilik-nilik diri.
Banyak lagi yang perlu aku selam dan rasa.
Posted by Posted by
Ariff Arifin
at
6:28 AM
Categories:
Labels:
cuma kata-kata
8
comments
Sunday, August 9, 2009
Ada orang tidak segan silu menjaja maruah dalam internet. Menjaja maruah bukanlah dengan meletakkan label; "Harga saya RM 1 per jam" atau "Lelaki kesepian. Langganan murah dengan tawaran hebat."
Menjaja maruah diri mungkin saja boleh berlaku bila anda mendedahkan aib anda dalam internet, atau menceritakan segala benda yang sepatutnya berada dalam kain anda, kepada khalayak di alam maya.
Contoh 1:
Seorang lelaki Z yang ada nama dalam dunia bisnes menyatakan di dalam internet yang dia pernah menang nombor ekor dengan cara memuja mayat anak dara mati dibunuh. Akibatnya dia telah membuka tiga bahagian aibnya sendiri. Pertama, dia sebenarnya tahi judi. Kedua, dia tahi judi yang melakukan syirik. Ketiga, dia penjenayah yang membongkar kubur.
Contoh 2:
Perbuatan seorang perempuan A bertanyakan kepada seorang lobai di dalam satu web soal jawab koyak dan tampal akan perbuatan bercumbu-cumbuan dengan teman lelakinya pada bulan puasa dan melakukan mukadimah zina yang 'gitu-gitu'. Dan lebih menyedihkan, apabila dia meletakkan nama benar beserta alamat email dalam ruang soalan tersebut. Dia tidak menyedari akan perbuatannya telah menyebabkan dia mendedahkan aibnya sendiri. Lebih dari itu, dia telah menyebabkan si lobai pening dengan persoalan! Kesian si lobai...
Namun ada juga orang yang mendedahkan aib sendiri dalam internet dengan berpura-pura jadi orang yang baik dalam internet, walhal di alam nyata, sikapnya bukanlah sebaik begitu.
Sebagai contoh; seorang lelaki, dalam satu ruang sembang rembang internet, memberikan beberapa tips yang dapat mengelakkan dirinya dari dikacau oleh akhawat-akhawat yang caring kepadanya. Kalau SMS jangan layan.. Bla.. Bla.. Kalau wanita buat macam itu, ini.. Bla.. bla.. Bla...
Tapi, pada hakikatnya, dia di alam nyata, pada mata dan telinga teman dan kawan, boleh pula SMS akhawat pada pukul 2-3 pagi bertanya khabar berita. Ini juga satu kemusykilan dan membuka aib diri sendiri. Ini kerana beliau telah mendedahkan hakikat bahawa dia sebenarnya hipokrit.
Alahaiiii...
Jadi, usah buka aib anda dan jaga pula megah berpura-pura.. Risau-risau, kalau ada yang kenal..
Adakah saya cuba membuka aib? Ohh.. Tiada nama diletak, sekadar jadi iktibar. Lagipun.. Itu semua contoh sahaja tuan dan puan.. Contoh..
Posted by Posted by
Ariff Arifin
at
4:43 AM
Categories:
Labels:
cuma kata-kata
0
comments
Tuesday, August 4, 2009
Orang yang paling teruk perangainya adalah orang yang menyalahkan tuhan bila ditimpa musibah.
Tidak kiralah samada musibah yang kecil, atau musibah yang besar. Pendek kata. Bila ditimpa musibah. Dia menyalahkan tuhannya. Atau menyalahkan takdir.
Orang selalunya tidak berhati-hati bila bercakap. Sehingga kadangkala, atau kebanyakan masa, boleh rosak akidah.
Tidak kira, samada menyalahkan tuhan secara terang-terangan. Atau sekadar dalam diam. Semuanya masih lagi satu kesalahan. Kesalahan yang bukannya kecil. Kesalahan yang sangat besar, dan boleh juga menempah azab seksa yang besar juga.
Ada orang bila ditimpa musibah, terang-terangan menzahirkan rasa marah kepada tuhan, seperti mengatakan bahawa tuhan tidak adil dan sebagainya.
Tapi ada juga yang secara tidak sedar, mereka telah berburuk sangka kepada tuhan. Iaitu apabila ditimpa musibah, mereka tidak redha dengannya. Ini juga satu bentuk blaming antara percaya atau tidak.
Ini kerana, sikap seorang mukmin yang sebenar, apabila ditimpa musibah, dia sewajarnya menerima segala ketentuan, dan berbaik sangka dengan segala apa yang datang. Dan dengan tidak meredhai perkara yang datang, itu adalah satu bentuk penolakan.
Walhal, orang Islam, atau yang mengaku sebagai Islam, beriman bahawa ALLAH itu MAHA MENGETAHUI segala apa yang baik untuk hamba-Nya.
Cakap memang mudah bukan? Yaa.. Cakap memang mudah. Hendak buat yang payah. Maka, tidak salah untuk kita belajar untuk buat, untuk terima segala yang telah ditetapkan oleh tuhan kita.
Bak kata skrip Nur Kasih; "Kita memang tak boleh jadi orang lain. Tapi kita boleh jadi orang yang lebih baik..."
Sekian.
Posted by Posted by
Ariff Arifin
at
6:02 PM
Categories:
Labels:
cuma kata-kata
4
comments
Saturday, August 1, 2009
1
Sangat pelik bila ada orang mengaji hadith, tapi tidak jumpa bab adab.
Maka jadilah dia sebagai seorang yang biadap dan tak sedar diri.
Moral ceritanya, kalau anda seorang yang belagak hebat dan pandai dalam bidang hadith (walaupun sebenarnya sekadar pakai perisian komputer), maka janganlah jatuhkan status lagakan anda itu pada satu tahap orang akan benci dan rasa menyampah dengan anda.
2
Bila sakit, kita perlu bersyukur. Sekurang-kurangnya, itu akan jadi kafarah kepada dosa-dosa yang banyak kita lakukan.
Paling penting, usah mengeluh dan salahkan tuhan.
Kerana orang yang paling hina adalah orang yang mati dalam keadaan yang buruk sangka pada tuhannya.
3
Jadilah seorang pemimpin yang baik.
Dan usahlah jadi seorang pemimpin yang menyampah dan.. dan menyampahkan.
Ada orang, bila berada di puncak. Dia akan lupa segalanya.
Bahkan mungkin, dia rasa dirinya adalah raja. Orang laib cuma serangga.
Habis semua benda hendak ditepuk, semua kata hendak disampuk. Alahai tuan pengetua. Buatlah kerja anda sendiri.
4
Aku cukup-cukup geram kalau ada orag syok sendiri mempengerusikan mensyuarat.
Famili saya, bini saya, anak sedara saya, madrasah dekat kampung saya. Semuanya SAYA. Alahai....
5
AKu dah habis bercerita...
Posted by Posted by
Ariff Arifin
at
9:04 PM
Categories:
Labels:
cuma kata-kata
2
comments